PUTRAJAYA: Program pembangunan Bumiputera tidak boleh digalas oleh agensi secara 'solo' semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara bersepadu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi mengelakkan pertindihan fungsi serta memastikan setiap institusi saling melengkapi dalam memperkasakan agenda pembangunan golongan itu.
Kata beliau, kerajaan juga tidak bercadang menubuhkan agensi Bumiputera baharu, sebaliknya mahu mengoptimumkan peranan agensi sedia ada agar setiap institusi memikul tanggungjawab bersama menjayakan agenda pembangunan Bumiputera sebagai sebahagian daripada agenda nasional.
"Saya ingatkan program pembangunan Bumiputera itu bukan tugas khusus agensi Bumiputera semata-mata, tetapi menjadi agenda nasional.
"Sebab itu saya tidak cenderung menubuhkan agensi Bumiputera baharu tetapi saya cenderung memastikan agensi ini (sedia ada) diperkasa, agensi, jabatan lain dan kementerian semuanya mesti diselaraskan.
"Baru-baru ini saya panggil semua pengurusan syarikat milik kerajaan termasuk GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) yang ada termasuk yang khusus untuk Bumiputera, iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan sebagainya.
"Ada Maybank, PETRONAS yang besar-besar. Tapi saya ingatkan program pembangunan Bumiputera bukan tugas khusus bagi agensi Bumiputera semata-mata, tetapi menjadi agenda nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan SPARK 2026: Transformasi Niaga di Putrajaya, di sini, pada Sabtu.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara tanpa mengabaikan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama kepada rakyat.
Beliau berkata pembangunan ekonomi negara perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memastikan semua lapisan masyarakat memperoleh manfaat daripada pertumbuhan yang dicapai.
"Kita tidak menghalang sesiapa bekerja keras memacu pertumbuhan ekonomi, sama ada dalam kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, ekonomi digital atau peralihan tenaga. Tetapi pada masa sama kita mesti memastikan pengagihan yang adil," katanya.
Anwar berkata kerajaan mengamalkan pendekatan 'raising the ceiling' bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara dan pada masa sama 'raising the floor' untuk membantu golongan yang masih memerlukan.
Katanya, pada masa sama, kerajaan bertanggungjawab memastikan hasil pertumbuhan ekonomi diagihkan secara adil supaya tiada golongan atau wilayah yang tercicir daripada arus pembangunan negara.