Skip to main content

Politik

PRN Johor: Khairy dakwa sokongan Puad kepada calon PH berpunca kekecewaan peribadi

 KJ DUN SEROM
Khairy bersama calon DUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim semasa Program Jelajah Barisan Nasional (BN) hari ini. - Foto Astro AWANI

SEROM: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpandangan sokongan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi kepada calon Pakatan Harapan (PH) DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini lebih didorong oleh kekecewaan peribadi berbanding keyakinan terhadap parti itu.

Menurut Khairy, Mohd Puad bebas menentukan pendirian politiknya kerana tidak lagi menjadi ahli UMNO dan tidak terikat dengan disiplin parti.

“Datuk Puad bebas untuk sokong siapa yang dia hendak sokong. Dia bukan lagi ahli UMNO, jadi dia tidak terikat dengan disiplin UMNO. Soal siapa yang dia nak sokong itu hak dia, kita tidak boleh menghalang.

“Mungkin Datuk Puad, walaupun dia bebas untuk menyatakan sokongan kepada sesiapa, dia sokong PH bukan kerana PH, tetapi mungkin kerana kekecewaan peribadi.

“Saya rasa dia sokong PH itu bukan sangat tentang calon, tetapi lebih kepada dia rasa kecewa sebab dia tidak dapat apa yang dia hendak. Just as simple as that. Orang pun faham,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Jelajah Barisan Nasional (BN) bersama calon DUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy menyatakan sokongan penuh kepada calon BN di DUN Rengit, Zaidi Japar yang disifatkannya sebagai calon terbaik.

Katanya, beliau mengenali Zaidi sejak sekian lama dan yakin calon itu mempunyai rekod perkhidmatan yang baik serta sentiasa dekat dengan masyarakat.

Pada Sabtu, Mohd Puad secara terbuka menyatakan sokongan kepada PH bagi kerusi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri pada PRN Johor.

Menerusi poster kempen yang dimuat naik di laman Facebooknya, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau membuat pilihan berdasarkan peribadi calon dan bukan lagi atas faktor parti.

Must Watch Video

Advertisement