SEPANG: Seramai 33 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang berlepas ke Arab Saudi untuk menyertai Program Umrah Tetamu Raja Salman bagi tahun 1448 Hijrah.
Program tahunan yang ditaja sepenuhnya oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud itu bertujuan memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi menerusi diplomasi rakyat serta pengisian keagamaan.
Pegawai Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr Fadlan Mohd Othman berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan Arab Saudi dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara sahabat, termasuk Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan Arab Saudi tidak mengenakan sebarang syarat mahupun mengharapkan balasan daripada peserta yang dipilih untuk menyertai program berkenaan.
Peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang dan dipilih berdasarkan sumbangan mereka dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.
"Pemilihan itu berlaku di peringkat Kedutaan Arab Saudi dan juga di peringkat kementerian agama, di mana peserta yang dipilih terdiri daripada pelbagai latar belakang, khususnya mereka yang memberi sumbangan kepada kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta Program Umrah Tetamu Raja Salman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu.
Kesemua peserta berlepas ke Madinah menaiki penerbangan Saudia Airlines pada jam 5.35 petang.
Sementara itu, Dr Fadlan berkata, program tersebut bukan sekadar memberi peluang kepada peserta menunaikan ibadah umrah, malah mereka turut akan mengikuti pelbagai pengisian bersama peserta dari seluruh dunia.
Antara pengisian yang disusun termasuk sesi pertemuan dengan Imam Masjidil Haram dan Imam Masjid Nabawi, selain program yang bertujuan mengeratkan hubungan antara peserta dari pelbagai negara.
Sebelum ini, Raja Salman selaku Penjaga Dua Masjid Suci meluluskan penyertaan 1,000 jemaah umrah lelaki dan wanita dari seluruh dunia di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Lawatan yang dibiayai sepenuhnya oleh baginda.
Inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.
Selain Malaysia, 15 negara Asia lain turut tersenarai dalam program berprestij berkenaan.