KOTA KINABALU: Seramai 300 termasuk 12 pemimpin dipercayai kumpulan ajaran sesat Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam satu operasi di dewan sebuah sekolah di Likas di sini pada Sabtu.
Operasi yang dijalankan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah hasil aduan awam berhubung aktiviti dipercayai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, operasi dilaksanakan susulan aduan awam yang diterima oleh JHEAINS pada Khamis lalu berhubung penganjuran program yang berlangsung sejak Jumaat hingga Sabtu lalu.
"Hasil semakan mendapati program berkenaan dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada tahun 2007.
"Seramai 300 individu telah ditahan bagi membantu siasatan terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.
"Program ini turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, dalam serbuan itu beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan ajaran tersebut turut dirampas.
"Antara barang dirampas ialah 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani, kira-kira 200 buah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut, selain dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan ini.
"Susulan daripada itu, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Syed Lot berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf dengan merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan ajaran atau fahaman yang diajar serta disebarkan.
"Tindakan tegas akan diambil ke atas individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng dari ajaran islam," katanya. - Sinar Harian