Skip to main content

Malaysia

280 unjam dilabuhkan di perairan Terengganu tahun ini - JPNT

CHUKAI, 8 Julai (Bernama) -- Sebanyak 280 unjam akan dilabuhkan menerusi program pembangunan unjam di perairan Terengganu pada tahun ini bagi memperkaya sumber perikanan serta meningkatkan hasil tangkapan nelayan. Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) Pang Nyukan berkata tujuh lokasi telah dikenal pasti bagi pelaksanaan program berkenaan dengan lokasi pertama melibatkan perairan Kerteh, dekat sini pada 5 Julai lepas.
Pang berkata tujuh lokasi telah dikenal pasti bagi pelaksanaan program berkenaan dengan lokasi pertama melibatkan perairan Kerteh, pada 5 Julai lepas. - Gambar Bernama

CHUKAI: Sebanyak 280 unjam akan dilabuhkan menerusi program pembangunan unjam di perairan Terengganu pada tahun ini bagi memperkaya sumber perikanan serta meningkatkan hasil tangkapan nelayan.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) Pang Nyukang berkata tujuh lokasi telah dikenal pasti bagi pelaksanaan program berkenaan dengan lokasi pertama melibatkan perairan Kerteh, dekat sini pada 5 Julai lepas.

Beliau berkata sebanyak 40 unjam yang diperbuat daripada pembentung konkrit dan daun kelapa akan dilabuhkan di setiap lokasi berkenaan.

"Unjam itu berperanan membantu meningkatkan pembiakan pelbagai spesies ikan, seterusnya memberikan manfaat kepada nelayan pantai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pang berkata unjam akan dilabuhkan pada jarak dua hingga tiga batu nautika dari daratan dan dilaksanakan oleh komuniti nelayan setempat.

Beliau berkata pada tahun lepas, JPNT turut melabuhkan 280 unjam berbanding 80 unjam pada 2024, sekali gus mencerminkan komitmen agensi itu dalam memperkukuh pembangunan sektor perikanan di negeri ini.

"Sejak program pembangunan unjam diperkenalkan pada 2018, sebanyak 1,376 unjam telah dilabuhkan di perairan negeri ini hingga 2025," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) Mat Yassim Mohamed berkata program berkenaan dapat membantu golongan nelayan pantai Zon A meningkatkan hasil tangkapan mereka.

"Unjam-unjam yang dilabuhkan itu dapat menarik lebih banyak spesies ikan ke kawasan tersebut seterusnya meningkatkan produktiviti tangkapan dan pendapatan nelayan," katanya ketika dihubungi. 

Beliau berkata pihaknya juga mengharapkan JPNT dapat menambah bilangan unjam untuk dilabuhkan di lebih banyak kawasan selepas ini.

Selain itu, katanya, unjam-unjam yang dilabuhkan itu turut berperanan sebagai penghalang kepada pencerobohan bot pukat tunda di kawasan pesisir pantai bagi melindungi sumber perikanan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement