IPOH: Sebanyak 158 pengantara pro bono telah berdaftar di bawah Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) setakat ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Kulasegaran berkata inisiatif yang dilancarkan di bawah Pusat Mediasi MADANI pada 18 Mei itu mencerminkan sokongan padu profesion undang-undang untuk meluaskan akses penyelesaian secara adil.
Beliau berkata inisiatif itu menyediakan perkhidmatan pengantaraan komersial percuma untuk lebih 26 kategori pertikaian komersial yang melibatkan tuntutan kurang daripada RM250,000 dan ke bawah, dengan tujuan memudahkan penyelesaian pertikaian komersial yang cepat dan berstruktur.
"Sejak pelaksanaannya pada Mei, AIAC juga aktif menerima kes dan pertanyaan mediasi pro bono. Saya difahamkan setakat ini, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, hampir 10 kes telah didaftarkan.
"Antara perkara pertama yang akan saya lakukan minggu depan ialah mengarahkan mereka menjemput Majlis Peguam untuk bertemu dan melihat bagaimana kita boleh memudahkan dan memperkukuhkan lagi agar orang biasa juga boleh mendapat manfaat daripadanya," katanya dalam ucapan semasa majlis perasmian dan pelancaran Pusat Pengantaraan Peguam Perak, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Majlis Peguam Malaysia Anand Raj, Naib Presiden Majlis Peguam Malaysia dan Pengerusi Pusat Pengantaraan Antarabangsa Malaysia (MIMC) Murshidah Mustafa, Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak Shuhaida Kassim, Pengerusi Majlis Peguam Perak Dr Saravanabavan Mathialagan dan Pengarah Pusat Pengantaraan Majlis Peguam Perak S.V. Namasoo.
Sementara itu pada sidang media kemudiannya, Kulasegaran berkata ramai yang beranggapan cara terbaik menyelesaikan kes sivil adalah di mahkamah, sedangkan peguam adalah seseorang yang dapat menyelesaikan kes di luar mahkamah.
"Ini (pengantaraan) adalah satu cara dan perlu diberi pertolongan atau bantuan, dan Kerajaan MADANI akan menolong mereka seberapa yang boleh. Kalau litigasi, ia akan ambil masa, contohnya kalau katakanlah anda buat satu kes di mahkamah tinggi, selepas itu ada rayuan, ada lagi satu rayuan, ada beberapa peringkat.
"Dan saya sendiripun buat kes ada 10 tahun, 15 tahun. Yang ini (pengantaraan) dapat menyelesaikan perkara dengan seberapa awal yang bagus. Ini saling memberi manfaat bagi kedua-dua pihak dan perlu diberi keutamaan," katanya.
Sementara itu berkenaan cadangan beberapa Ahli Parlimen supaya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden di Penjara Taiping yang menyebabkan kematian seorang tahanan pada awal tahun lepas ditayangkan di Dewan Rakyat, Kulasegaran berkata kesemua pihak perlu menunggu keputusan Kabinet terlebih dahulu.
Pada persidangan Dewan Rakyat 8 Julai lepas, Kulasegaran dilaporkan berkata walaupun pada prinsipnya beliau berpendapat Ahli Parlimen wajar diberi akses kepada rakaman itu, namun cadangan berkenaan perlu diperhalusi terlebih dahulu dari sudut implikasi undang-undang, termasuk isu subjudis dan kes yang masih berjalan.
-- BERNAMA