Skip to main content

Malaysia

10 pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah

KUANTAN, 15 Julai -- Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman (dua, kanan) memeriksa lesen pemandu lori pada Ops Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kawasan Rehat dan Rawat Temerloh, malam tadi.  Turut hadir Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang, Tuan Aman Mustapha (empat, kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Syed Ahmad Khirulanwar (dua, kanan) memeriksa lesen pemandu lori pada Ops Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan dengan kerjasama AADK di Kawasan Rehat dan Rawat Temerloh, malam tadi. - Gambar/ Bernama

TEMERLOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengesan 10 pemandu kenderaan perdagangan positif dadah hasil saringan terhadap 351 pemandu yang dijalankan menerusi Ops Bersepadu Dadah di 10 lokasi strategik di seluruh negeri sejak 1 Julai lepas.

Pengarah JPJ Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata operasi yang memasuki hari ke-14 itu dilakukan dengan tumpuan kepada pemandu kenderaan perdagangan, perkhidmatan awam dan pelancongan.

Beliau berkata operasi berkenaan turut dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), syarikat konsesi lebuh raya serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. 

"Setakat ini, sebanyak 10 kes positif dadah yang dikesan melibatkan pemandu kenderaan berat yang berumur antara 29 hingga 55 tahun.

"Semua pemandu terbabit diambil tindakan mengikut bidang kuasa AADK, manakala JPJ menahan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) mereka bagi tujuan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, di sini malam tadi.

Syed Ahmad Khirulanwar berkata daripada 10 lokasi operasi, lima kes dikesan di RnR Temerloh, masing-masing dua kes di Stesen Penguat Kuasa (SPK) Benta dan SPK Paloh Hinai serta satu kes lagi di SPK Maran.

Beliau berkata kebanyakan kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu terlibat ialah jenis methamphetamine dan faktor utama pengambilan disyaki untuk meningkatkan tenaga serta fokus dalam pemanduan.

"Penemuan ini membuktikan keperluan pelaksanaan operasi secara berterusan bagi memastikan hanya pemandu yang benar-benar layak, berintegriti dan bebas daripada penyalahgunaan dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan perdagangan di jalan raya," katanya. 

Beliau berkata JPJ Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang didapati positif dadah atau melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu, beliau berkata semakan turut mendapati seorang daripada pemandu yang positif dadah terbabit mempunyai rekod 42 saman JPJ yang telah diselesaikan, manakala seorang lagi mempunyai 11 saman dan beberapa yang lain memiliki antara satu hingga sembilan saman.

Beliau berkata rekod itu menunjukkan terdapat pemandu yang berulang kali melakukan kesalahan, sekali gus membimbangkan pihak berkuasa walaupun semua saman telah dijelaskan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement