Skip to main content

Dunia

Xi, Putin mulakan rundingan dua hala di Beijing

Russian President Vladimir Putin and Chinese President Xi Jinping inspect an honor guard during a welcoming ceremony at the Great Hall of the People in Beijing, China May 20, 2026. REUTERS/Maxim Shemetov/Pool
Putin dan Jinping memeriksa pasukan kawalan kehormat semasa upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat di Beijing, China. - Foto REUTERS

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping, menyambut rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, dalam satu upacara rasmi penuh istiadat di Dewan Besar Rakyat (Great Hall of the People) di Beijing, sebelum kedua-dua pemimpin itu memulakan rundingan dua hala.

Lawatan Putin ke China berlangsung selama dua hari dan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.

Majlis sambutan rasmi itu melibatkan kawalan kehormat serta protokol kenegaraan, sekali gus mencerminkan kepentingan lawatan tersebut dalam hubungan diplomatik Beijing-Moscow.

Selepas upacara itu, Xi dan Putin mengadakan pertemuan dua hala di lokasi sama, dengan agenda meliputi hubungan ekonomi, perdagangan serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa utama, termasuk konflik di Iran, perang di Ukraine serta keselamatan serantau dan global.

Pertemuan ini berlangsung hanya beberapa hari selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Beijing, sekali gus menonjolkan peranan China sebagai pusat diplomasi global dalam menangani konflik antarabangsa.

Penganalisis melihat pertemuan berturut-turut dengan pemimpin AS dan Rusia sebagai isyarat bahawa Beijing berusaha mengekalkan hubungan dengan kedua-dua kuasa besar dunia sambil mengukuhkan pengaruhnya di pentas global.

Kremlin sebelum ini memaklumkan bahawa antara isu utama yang akan dibincangkan termasuk perkembangan konflik melibatkan Iran, yang telah menjejaskan kestabilan tenaga global serta meningkatkan ketegangan di Asia Barat.

Kedua-dua China dan Rusia secara konsisten menegaskan keperluan penyelesaian konflik melalui dialog dan saluran diplomatik.

Menurut sumber diplomatik, beberapa perjanjian dua hala serta satu kenyataan bersama dijangka diumumkan selepas rundingan, termasuk kerjasama dalam sektor tenaga, perdagangan dan infrastruktur.

Lawatan ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-25 perjanjian persahabatan antara China dan Rusia, yang menjadi asas kepada hubungan strategik kedua-dua negara.

 

 

Must Watch Video

Advertisement