KUALA LUMPUR: Malaysia berkongsi rangka tindakan negara dalam memperkukuh penggunaan sains tingkah laku dalam sektor kesihatan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan negara-negara lain pada satu sesi perbincangan antarabangsa di Geneva, Switzerland.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkongsian itu dibuat ketika mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi perbincangan mengenai peranan sains tingkah laku dalam kesihatan, hari ini.
Beliau berkata kebanyakan cabaran kesihatan utama negara, khususnya peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), berpunca daripada tabiat dan tingkah laku harian masyarakat, justeru penyelesaian klinikal dan ubat-ubatan semata-mata tidak lagi mencukupi.
“Kebanyakan cabaran kesihatan utama kita, terutama peningkatan penyakit NCD di Malaysia, sebenarnya berakar umbi daripada tabiat dan tingkah laku harian kita sendiri. Atas kesedaran ini, cara KKM merangka dasar perlu berubah, kita tidak lagi sekadar meneka apa yang rakyat mahu,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.
Dzulkefly berkata menerusi National Blueprint for Behavioural Sciences in Health yang dilancarkan pada 2025, setiap dasar dan kempen kesihatan kini dirangka berdasarkan psikologi serta realiti kehidupan sebenar rakyat.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 114 projek amali sains tingkah laku berjaya dilaksanakan di seluruh negara dengan hasil yang memberangsangkan.
Selaras dengan prinsip Malaysia MADANI, beliau berkata pendekatan sains tingkah laku kini menjadi tonggak penting dalam membina sistem kesihatan yang lebih manusiawi dan berpusatkan rakyat.
“Kita tahu bahawa tindakan pencegahan, seperti melakukan saringan awal, kekal aktif dan patuh pada jadual ubat, adalah langkah paling berkesan dan menjimatkan untuk menyelamatkan nyawa serta mengurangkan beban kewangan sistem kesihatan negara.
“Kerajaan akan terus memastikan pendekatan sains tingkah laku ini bukan sekadar dokumen dasar di atas meja, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan bermakna yang benar-benar mampu meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA