Skip to main content

Dunia

UNICEF hantar bekalan tindak balas kecemasan Ebola ke Congo

FILE PHOTO: UNICEF staff and airport workers load trucks with aid from the European Civil Protection and Humanitarian Aid Operations (ECHO) for the Ebola outbreak caused by the Bundibugyo strain, at Bunia National Airport in Bunia, Ituri province, Democratic Republic of Congo, May 28, 2026. REUTERS/Gradel Muyisa Mumbere/File Photo
UNICEF mula menghantar termasuk dengan pengangkutan udara bekalan kemanusiaan penting ke Republik Demokratik Congo (DR Congo) sebagai tindak balas kecemasan terhadap wabak Ebola yang semakin meningkat, menurut satu kenyataan lewat Khamis. - Foto REUTERS/Gradel Muyisa Mumbere

KIGALI (RWANDA): UNICEF mula menghantar termasuk dengan pengangkutan udara bekalan kemanusiaan penting ke Republik Demokratik Congo (DR Congo) sebagai tindak balas kecemasan terhadap wabak Ebola yang semakin meningkat, menurut satu kenyataan lewat Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Lebih 100 tan metrik barangan termasuk peralatan perlindungan diri untuk pekerja kesihatan barisan hadapan, ubat-ubatan, bahan kebersihan dan bekalan perubatan telah dihantar dengan bantuan Kesatuan Eropah.

"Kami berlumba dengan masa untuk membendung wabak ini. Keadaan masih sangat membimbangkan dan dinamik. Bekalan kecemasan ini penting untuk membantu melindungi pekerja barisan hadapan dan membantu komuniti yang terjejas termasuk kanak-kanak," kata John Agbor, wakil UNICEF di Congo.

Bekalan berkenaan dijangka membantu hampir 100,000 orang termasuk kanak-kanak dan keluarga yang tinggal dalam komuniti yang berdepan situasi kemanusiaan rapuh dengan penduduk kehilangan tempat tinggal, konflik dan akses terhad kepada perkhidmatan sosial asas.

Barangan itu telah diangkut dari hab bekalan dan logistik global UNICEF di Copenhagen menerusi perkhidmatan udara kemanusiaan khusus yang disokong oleh Perlindungan Awam dan Operasi Bantuan Kemanusiaan Suruhanjaya Eropah, bertujuan membendung penularan virus dalam komuniti yang terjejas.

Laporan situasi yang dikeluarkan pada Rabu oleh Kementerian Kesihatan negara itu menunjukkan jumlah disyaki kes Ebola di Congo telah melepasi 1,000 di tengah-tengah lonjakan kes di seluruh wilayah timur.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Ghebreyesus mendarat di Congo pada Khamis dalam lawatan yang bertujuan meningkatkan usaha membendung Ebola di negara itu.

Menyedari keperluan pemilikan masyarakat terhadap langkah pencegahan, Tedros memberitahu pemberita bahawa wabak semasa adalah rumit disebabkan oleh perpindahan penduduk dan ketidakamanan di kawasan terjejas, yang menjadikannya sangat sukar untuk membendung wabak itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement