Skip to main content

Dunia

Uganda isytihar wabak eBola tamat

Red Cross workers wearing personal protective equipment walk in a formation as they disinfect the ground outside the house of an unidentified man who died of Ebola, before retrieving his body, as aid agencies intensify efforts to contain a new Ebola outbreak involving the Bundibugyo strain, in Quartier Shuni 1, a residential sector in Mongbwalu, Djugu Territory of Ituri province, Democratic Republic of Congo, May 24, 2026. REUTERS/Gradel Muyisa Mumbere
Kementerian Kesihatan Uganda mengisytiharkan secara rasmi pada Selasa bahawa wabak Ebola sudah berakhir di negara itu, dengan menyatakan siasatan epidemiologi dan sifat wabak yang dikenal pasti secara menyeluruh memberikan bukti saintifik yang mencukupi bahawa jangkitan telah dihentikan. - Gambar fail Reuters

KAMPALA: Kementerian Kesihatan Uganda mengisytiharkan secara rasmi pada Selasa bahawa wabak Ebola sudah berakhir di negara itu, dengan menyatakan siasatan epidemiologi dan sifat wabak yang dikenal pasti secara menyeluruh memberikan bukti saintifik yang mencukupi bahawa jangkitan telah dihentikan, lapor Xinhua.

"Kementerian Kesihatan dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Uganda telah mengisytiharkan secara rasmi wabak penyakit Ebola 2026 sudah berakhir. Hari ini, Uganda bebas daripada Ebola," menurut kenyataan yang memetik Menteri Kesihatan, Chris Baryomunsi.

Pengumuman itu dibuat sebelum tamat tempoh pengiraan 42 hari mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) susulan pelepasan pesakit terakhir. Uganda membenarkan pesakit Ebola terakhir keluar dari hospital pada 16 Julai selepas individu berkenaan diuji negatif bagi virus itu.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, pengisytiharan itu berasaskan pengenalpastian punca wabak, pembinaan semula rantaian jangkitan yang lengkap, pautan epidemiologi bagi semua kes disahkan, kejayaan tindakan susulan ke atas semua kontak yang dikenal pasti, serta pengawasan dipertingkatkan di seluruh negara yang tidak mengesan sebarang jangkitan selanjutnya dalam komuniti.

Kriteria 42 hari yang digunakan sekian lama - walaupun kekal sebagai langkah perlindungan penting sekiranya penularan tidak pasti atau masih berterusan - tidak sepatutnya dianggap sebagai satu-satunya asas untuk mengisytiharkan sesuatu wabak tamat apabila wabak diimport telah dikenal pasti secara menyeluruh dan penutupan epidemiologi telah dibuktikan secara konklusif, kata kementerian itu.

Kementerian itu berkata, Uganda akan terus memperkukuh pengawasan, mengekalkan kesiapsiagaan terutamanya di daerah sempadan, dan bekerjasama rapat dengan negara-negara jiran. 

Pihaknya turut memberi jaminan kepada penduduk, pelawat dan pelabur bahawa negara itu kekal selamat dan terbuka untuk perniagaan, pelancongan serta aktiviti sosioekonomi lain.

Uganda mengisytiharkan wabak berkenaan pada 15 Mei selepas mengesahkan satu kes Ebola yang diimport dari Republik Demokratik Congo. Negara itu merekodkan 20 kes disahkan, merangkumi 18 kes sembuh dan dua kematian.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement