SETIAP kali berlaku kecederaan semasa aktiviti Pendidikan Jasmani (PJ), persoalan yang sering timbul ialah: “Siapa yang cuai?”
Tidak dinafikan, keselamatan murid ialah keutamaan dan sebarang kecuaian yang boleh membahayakan mereka perlu dipandang serius. Namun, jika setiap kemalangan terus dianggap sebagai bukti kegagalan guru, kita sebenarnya sedang membina budaya pendidikan yang tidak sihat. Persoalan yang sepatutnya diajukan bukan sekadar siapa yang perlu dipersalahkan, tetapi bagaimana sistem pendidikan dapat mengurus risiko dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan keselamatan dan kualiti pengajaran guru dan pembelajaran murid.
Pendidikan Jasmani mempunyai ciri yang berbeza daripada mata pelajaran lain. Pembelajaran berlaku melalui pergerakan dan pengalaman fizikal. Murid berlari, melompat, membaling, menangkap, mengimbang badan serta bekerjasama dalam pasukan. Melalui proses ini, mereka bukan sahaja meningkatkan tahap kecergasan dan kemahiran motor, malah membina keyakinan diri, disiplin, kemahiran membuat keputusan, daya tahan mental serta keupayaan bekerjasama. Bagaimanapun, seperti mana-mana aktiviti fizikal, proses pembelajaran ini tidak pernah bebas sepenuhnya daripada risiko.
Bezakan bahaya dengan risiko
Di sinilah masyarakat perlu memahami perbezaan antara bahaya dengan risiko. Bahaya ialah keadaan yang tidak sepatutnya wujud, seperti padang berlubang, gelanggang rosak, tiang gol tidak stabil, peralatan uzur atau penyeliaan tidak mencukupi. Semua keadaan ini perlu dikenal pasti dan dihapuskan. Risiko pula merujuk kemungkinan berlakunya kecederaan ketika murid menjalankan aktiviti yang mempunyai nilai pembelajaran. Risiko tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, tetapi boleh diminimumkan melalui perancangan, penyeliaan, penyesuaian aktiviti dan pengurusan yang sistematik.
Perbezaan ini penting kerana matlamat sistem pendidikan bukan untuk menghapuskan semua risiko, tetapi menghapuskan bahaya dan mengurus risiko secara profesional. Namun, apabila berlaku insiden, perhatian sering tertumpu kepada tindakan guru semata-mata.
Faktor lain seperti keadaan fasiliti, saiz kelas, nisbah guru dengan murid, penyelenggaraan peralatan, kesesuaian aktiviti, tahap kemahiran murid serta sokongan pihak sekolah turut mempengaruhi tahap keselamatan sesuatu sesi pengajaran.
Guru PJ bukan sahaja perlu menyampaikan kandungan kurikulum. Mereka juga perlu
memantau puluhan murid yang bergerak serentak, menyediakan dan menyimpan peralatan, memeriksa kawasan aktiviti, menyesuaikan pengajaran mengikut tahap kebolehan murid serta bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan. Dalam masa sama, mereka turut mengendalikan aktiviti kokurikulum, kejohanan dan pelbagai tugasan pentadbiran. Tanggungjawab sebesar ini perlu disokong oleh sistem yang kukuh, bukan diletakkan sepenuhnya di bahu seorang guru.
Negara berdepan krisis Gaya Hidup Sedentari
Persoalan yang lebih besar bukanlah tindakan undang-undang itu sendiri, tetapi bagaimana kebimbangan terhadap tindakan tersebut boleh mengubah amalan pengajaran di sekolah.
Guru mungkin menjadi terlalu berhati-hati sehingga mengurangkan aktiviti yang lebih
mencabar, mengelakkan penggunaan peralatan tertentu atau memilih pengajaran yang terlalu pasif. Pendekatan ini mungkin dilihat lebih selamat dalam jangka pendek, tetapi boleh mengurangkan peluang murid membina kemahiran pergerakan, kecergasan, keyakinan dan keberanian mencuba. Keadaan ini amat membimbangkan kerana negara sedang berhadapan masalah kesihatan remaja yang serius.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) 2022 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mendapati 16.2 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun mengalami berlebihan berat badan, manakala 14.3 peratus lagi mengalami obesiti. Ini bermakna hampir seorang daripada setiap tiga remaja Malaysia berada dalam kategori berlebihan berat badan atau obes.
Tinjauan sama turut menunjukkan kira-kira 4 daripada 5 remaja tidak mencapai tahap aktiviti fizikal yang disarankan, manakala hampir 2 daripada 3 mempunyai tingkah laku sedentari.
Angka ini membawa mesej yang jelas. Ketika majoriti remaja kita tidak cukup bergerak,
sekolah tidak seharusnya menjadi tempat yang semakin mengehadkan peluang mereka untuk aktif. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menegaskan bahawa aktiviti fizikal memberikan manfaat kepada kesihatan fizikal, mental dan sosial. Namun, sekitar 81 peratus remaja berusia 11 hingga 17 tahun di seluruh dunia masih tidak mencapai tahap aktiviti fizikal yang disarankan.
Dalam konteks ini, Pendidikan Jasmani bukan sekadar satu mata pelajaran dalam jadual waktu. Ia ialah sebahagian daripada strategi kesihatan awam untuk membentuk tabiat hidup aktif sejak usia muda. Jika guru terlalu takut untuk melaksanakan aktiviti fizikal yang bermakna, kesannya bukan hanya kepada mutu pengajaran, tetapi juga terhadap usaha negara menangani obesiti, gaya hidup sedentari, penyakit tidak berjangkit dan masalah kesejahteraan mental.
Kerangka pengurusan risiko kebangsaan
Oleh itu, pendekatan terhadap keselamatan dalam Pendidikan Jasmani perlu beralih daripada budaya menyalahkan kepada budaya mengurus risiko.
Pertama, Kementerian Pendidikan Malaysia wajar mempertimbangkan pembangunan Kerangka Pengurusan Risiko Pendidikan Jasmani Kebangsaan sebagai rujukan standard kepada semua sekolah. Kerangka ini perlu merangkumi kaedah penilaian risiko mengikut jenis aktiviti, umur dan tahap perkembangan murid, saiz kelas, tahap kemahiran, keadaan persekitaran serta keperluan penyeliaan. Ia juga perlu menjelaskan tindakan yang harus dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas aktiviti, termasuk pemeriksaan peralatan, taklimat keselamatan, pelan tindak balas kecemasan serta
dokumentasi sekiranya berlaku insiden. Garis panduan yang seragam bukan sahaja
membantu menjaga keselamatan murid, malah memberikan kejelasan kepada guru
mengenai standard profesional yang perlu dipatuhi.
Kedua, audit keselamatan fasiliti dan peralatan sukan perlu dilaksanakan secara berkala dengan penekanan kepada penyelenggaraan pencegahan. Pemeriksaan tidak seharusnya hanya dilakukan selepas berlaku kecederaan. Setiap kerosakan perlu dilaporkan melalui saluran yang jelas, direkodkan dan disusuli dengan tindakan pembaikan. Guru juga perlu diberikan kuasa untuk menghentikan penggunaan sesuatu fasiliti atau peralatan yang dikenal pasti tidak selamat tanpa bimbang dianggap gagal menjalankan pengajaran.
Ketiga, latihan pembangunan profesional berterusan berkaitan pengurusan risiko,
pertolongan cemas, resusitasi kardiopulmonari (CPR), penggunaan alat defibrilator luaran automatik (AED), kecederaan sukan dan pengurusan kecemasan perlu diperkasakan. Latihan ini perlu bersifat praktikal, diperbaharui secara berkala dan mengambil kira situasi sebenar yang dihadapi guru di sekolah.
Keempat, setiap sekolah perlu mempunyai pelan tindak balas kecemasan yang jelas. Guru perlu mengetahui individu yang perlu dihubungi, lokasi peti pertolongan cemas dan AED, kaedah mendapatkan bantuan perubatan serta prosedur memaklumkan ibu bapa dan pihak pentadbiran. Dalam situasi kecemasan, beberapa minit pertama amat penting. Prosedur yang jelas boleh mengurangkan kekeliruan dan mempercepatkan tindakan.
Sokongan profesional dan perundangan Mekanisme sokongan profesional dan perundangan kepada guru juga perlu diperkukuh. Guru yang telah mematuhi prosedur operasi standard, melakukan penilaian risiko, memberikan arahan keselamatan dan melaksanakan penyeliaan yang munasabah tidak seharusnya dibiarkan menghadapi proses siasatan atau tuntutan undang-undang secara bersendirian.
Sokongan ini bukan bertujuan memberikan kekebalan kepada guru atau menghapuskan akauntabiliti. Sebaliknya, ia memastikan penilaian terhadap sesuatu insiden dilakukan secara adil, menyeluruh dan berdasarkan fakta. Perlu dibezakan antara kecuaian sebenar dengan kemalangan yang berlaku dalam lingkungan risiko munasabah sesuatu aktiviti.
Pada masa sama, tanggungjawab keselamatan tidak boleh diserahkan kepada guru sahaja. Pentadbir sekolah, pihak penyelenggaraan, kementerian, ibu bapa dan murid mempunyai peranan masing-masing. Murid perlu mematuhi arahan dan peraturan keselamatan. Ibu bapa pula perlu memahami bahawa penyertaan dalam aktiviti fizikal sentiasa mempunyai tahap risiko tertentu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
Sekolah perlu membina komunikasi yang lebih baik dengan ibu bapa mengenai tujuan aktiviti, langkah keselamatan yang diambil serta prosedur sekiranya berlaku kecederaan.
Keselamatan dan pembelajaran perlu bergerak bersama
Matlamat Pendidikan Jasmani bukan sekadar memastikan murid tidak mengalami
kecederaan. Matlamatnya ialah membimbing mereka menjadi individu yang cergas, yakin, berdisiplin, berdaya tahan dan mampu membuat keputusan dalam persekitaran yang selamat. Kemahiran ini tidak dapat dibentuk jika murid tidak pernah diberikan peluang menghadapi cabaran yang sesuai dengan umur dan tahap perkembangan mereka.
Keselamatan murid dan kebajikan guru bukan dua matlamat yang bercanggah. Kedua-duanya saling melengkapi. Guru yang kompeten dan disokong oleh sistem yang kukuh akan lebih yakin melaksanakan pengajaran berkualiti. Murid pula memperoleh pengalaman pembelajaran yang selamat, aktif dan bermakna.
Sudah tiba masanya kita mengubah naratif daripada mencari siapa yang harus dipersalahkan kepada usaha membina sistem yang lebih baik. Dalam Pendidikan Jasmani, matlamat sebenar bukan memastikan murid tidak pernah terjatuh. Matlamatnya adalah memastikan risiko diurus dengan baik, bahaya dihapuskan dan murid dibimbing untuk bangkit semula dalam persekitaran yang selamat oleh guru yang kompeten serta sistem yang bertanggungjawab.
*Artikel ini tulisan Dr Nur Shakila Mazalan, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti (Sains Sukan), Fakulti Pendidikan, UKM, yang juga Pengarah Pusat Sukan, UKM
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.