Skip to main content

Dunia

Trump, Perdana Menteri Iraq janji perkukuh kerjasama ekonomi, meterai lebih banyak perjanjian

U.S. President Donald Trump shakes hands with Iraqi Prime Minister Ali al-Zaidi as they participate in a bilateral meeting in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., July 14, 2026. REUTERS/Evan Vucci
Trump berjabat tangan dengan Perdana Menteri Iraq, Al-Zaidi ketika menghadiri mesyuarat dua hala di Pejabat Oval, White House, di Washington, D.C. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi, berikrar untuk memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, termasuk meningkatkan pengeluaran minyak Iraq, dalam pertemuan mereka di White House pada Selasa.

Pertemuan itu berlangsung ketika kedua-dua pemimpin berusaha mengalihkan fokus hubungan AS-Iraq daripada kerjasama ketenteraan kepada pembangunan ekonomi dan pelaburan.

Trump memuji al-Zaidi, yang sebelum ini mendapat sokongan terbuka beliau untuk memegang jawatan perdana menteri, sebagai pemimpin baharu yang berpotensi membawa perubahan kepada Iraq.

“Iraq mempunyai potensi yang sangat besar kerana sumber minyaknya dan pelbagai faktor lain. Kami akan melaksanakan banyak perjanjian,” kata Trump semasa pertemuan di Oval Office.

Beliau berkata kerjasama yang bakal dimeterai dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kedua-dua negara selain meningkatkan pengeluaran minyak Iraq.

Al-Zaidi pula menyifatkan lawatannya ke Washington sebagai titik permulaan kepada satu era baharu hubungan dua hala yang lebih tertumpu kepada ekonomi.

“Lawatan ini bukan seperti lawatan biasa. Ia menandakan permulaan perkongsian ekonomi antara Iraq dan Amerika Syarikat,” katanya.

Menurut kerajaan Iraq, beberapa perjanjian dalam sektor minyak dan gas dijangka dimeterai sepanjang lawatan rasmi al-Zaidi ke AS.

Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen untuk menamatkan sepenuhnya kehadiran tentera AS di Iraq menjelang 30 September.

Al-Zaidi turut menegaskan hasrat kerajaannya untuk melucutkan senjata kumpulan bersenjata yang beroperasi di negara itu menjelang tarikh yang sama, meskipun beliau belum memperincikan mekanisme pelaksanaannya.

Iraq sejak sekian lama berdepan persaingan pengaruh antara Washington dan Tehran dalam politik domestiknya, termasuk isu kehadiran tentera AS serta peranan kumpulan bersenjata yang mempunyai hubungan dengan Iran.

Sebelum lawatan al-Zaidi ke Washington, sebuah gabungan kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq dilaporkan menolak sebarang keputusan yang mungkin terhasil daripada lawatan tersebut.

Selain isu keselamatan, Iraq turut berdepan cabaran ekonomi yang ketara susulan ketegangan serantau, termasuk gangguan terhadap laluan eksport tenaga melalui Selat Hormuz.

Negara itu bergantung kepada sektor minyak sebagai sumber pendapatan utama, dengan kira-kira 90 peratus daripada eksport bahan api fosilnya melalui selat tersebut.

Semasa sesi bersama media di White House, al-Zaidi turut menggesa Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mempertimbangkan pemberian kuota pengeluaran minyak yang lebih tinggi kepada Iraq.

Beliau berkata tuntutan itu penting bagi membantu negara berkenaan membiayai usaha pemulihan pascaperang, khususnya selepas kemusnahan besar yang ditinggalkan oleh konflik menentang kumpulan ISIL.

Menurut beliau, kerosakan akibat peperangan di Iraq dianggarkan melebihi AS$400 bilion, manakala masih terdapat rakyat yang kehilangan kediaman dan tinggal di kem penempatan sementara.

“Saya mempunyai rancangan untuk membawa mereka pulang ke kediaman masing-masing, dan sebab itu Iraq memerlukan bahagian yang adil dalam OPEC,” katanya.

Pemerhati melihat pertemuan Trump dan al-Zaidi sebagai petunjuk kepada usaha baharu untuk memperkukuh hubungan ekonomi AS-Iraq, di samping menangani cabaran keselamatan serta pemulihan ekonomi yang masih membelenggu negara Asia Barat itu.
 

 

Must Watch Video

Advertisement