PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengakui kesabarannya terhadap Iran semakin menipis, sambil menegaskan beliau tidak meminta sebarang bantuan daripada China dalam menangani konflik berkenaan.
Ketika dalam penerbangan pulang dari Beijing selepas dua hari rundingan bersama Presiden China, Xi Jinping, Trump berkata, Tehran perlu membuka semula Selat Hormuz, selain memberi bayangan bahawa Washington mungkin melonggarkan sekatan terhadap syarikat minyak China yang membeli minyak Iran.
“Saya tidak meminta sebarang bantuan. Jika kita meminta bantuan, kita perlu membalasnya,” kata Trump ketika ditanya sama ada Presiden Jinping bersetuju memberi tekanan kepada Iran untuk membuka laluan strategik itu.
China bagaimanapun tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa ia akan campur tangan secara langsung, walaupun Kementerian Luar negara itu menyatakan kekecewaan terhadap konflik yang berlaku.
“Konflik ini yang sepatutnya tidak berlaku, tidak wajar diteruskan,” menurut kenyataan Beijing.
Selat Hormuz terus jadi tumpuan
Iran sebelum ini menutup hampir sepenuhnya Selat Hormuz kepada kebanyakan laluan perkapalan sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel yang bermula pada 28 Februari, sekali gus menjejaskan bekalan tenaga global.
Walaupun AS menghentikan serangan bulan lalu, Washington melaksanakan sekatan pelabuhan, sementara Tehran menegaskan ia tidak akan membuka semula selat tersebut selagi sekatan berkenaan tidak ditarik balik.
Trump memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan boleh diambil semula sekiranya Iran enggan mencapai persetujuan.
“Kami tidak mahu mereka memiliki senjata nuklear dan kami mahu selat itu dibuka,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.
Rundingan berdepan kebuntuan
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata Tehran menerima mesej daripada AS yang menunjukkan kesediaan untuk meneruskan rundingan.
Namun, beliau menegaskan kekurangan kepercayaan terhadap Washington kekal menjadi halangan utama dalam proses diplomatik.
Araghchi berkata, Iran berharap rundingan dapat mencapai penyelesaian bagi memastikan keselamatan penuh di Selat Hormuz dan memulihkan semula laluan perdagangan.
Iran yang menafikan hasrat untuk membangunkan senjata nuklear, enggan menghentikan program penyelidikan nuklear atau menyerahkan simpanan uranium diperkaya, sekali gus mencetuskan kekecewaan Trump.
“Saya tidak akan menunggu lebih lama. Mereka perlu mencapai persetujuan,” kata Trump dalam satu wawancara.
Tekanan ekonomi dan geopolitik meningkat
Ketegangan berterusan menyaksikan harga minyak dunia meningkat sekitar tiga peratus kepada kira-kira AS$109 setong, didorong kebimbangan terhadap kegagalan mencapai penyelesaian konflik.
Pada masa sama, hasil bon Perbendaharaan AS melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh kira-kira setahun apabila pelabur menjangkakan tekanan inflasi akibat sekatan tersebut.
Selepas pertemuan Trump dan Jinping, White House memaklumkan, China menentang sebarang usaha Iran untuk mengenakan bayaran tol ke atas penggunaan Selat Hormuz, selain Jinping dilaporkan memberi jaminan tidak akan membekalkan peralatan ketenteraan kepada Tehran.
Peranan China dan usaha diplomasi
Walaupun Beijing menafikan laporan bahawa ia merancang membekalkan senjata kepada Iran, penganalisis berpandangan, China tidak dijangka akan memberi tekanan besar terhadap Tehran kerana kepentingan strategiknya dalam imbangan kuasa dengan AS.
Rundingan untuk menamatkan konflik kini tergendala selepas kedua-dua pihak menolak cadangan terkini masing-masing.
Araghchi turut memaklumkan, Iran bersedia mempertimbangkan peranan China dalam usaha diplomatik, namun menegaskan negara itu masih tidak mempercayai AS.
Dalam masa sama, Tehran memberi isyarat ia bersedia menghadapi kemungkinan konflik berlarutan, selain terus membuka ruang kepada penyelesaian secara diplomatik.
Ketegangan berlarutan di rantau
Media kerajaan Iran melaporkan lebih 31 juta rakyat negara itu menyertai kempen menunjukkan kesediaan mempertahankan negara, selain latihan ketenteraan untuk sukarelawan pro-kerajaan dipertingkatkan.
Sebelum konflik tercetus, kira-kira satu perlima bekalan minyak global serta gas asli cecair melalui Selat Hormuz, namun kini hampir keseluruhan laluan terjejas akibat serangan ke atas kapal dagang.
Susulan itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempercepat pembinaan saluran paip alternatif ke pelabuhan Fujairah selepas beberapa insiden serangan terhadap kapal.
Konflik tersebut turut mengorbankan ribuan nyawa di Iran dan Lebanon, termasuk akibat pertempuran antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Tehran. - Agensi