KUALA LUMPUR: Penyanyi muda berbakat, Aisha Retno diumumkan sebagai pelakon utama baharu bagi watak ikonik Puteri Gunung Ledang dalam pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical).
Pengumuman rasmi itu dibuat oleh pihak produksi menerusi platform Instagram rasmi PGL The Musical hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai siapa yang akan menggalas peranan legenda berkenaan dalam versi terbaharu pementasan tersebut.
Dalam hantaran sama, produksi berkenaan turut memaklumkan, nama seorang lagi pelakon wanita lain yang turut memegang watak puteri akan diumumkan pada 6 petang ini.
Pemilihan Aisha dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkenalkan generasi baharu ke pentas teater muzikal berskala besar, seiring usaha produksi menyuntik nafas segar kepada karya ikonik berkenaan.
Watak Puteri Gunung Ledang sebelum ini cukup sinonim dengan figura Puan Sri Tiara Jacquelina, yang mencipta fenomena sejak pementasan pertama pada 2006 dan seterusnya mengukuhkan kedudukan naskhah tersebut sebagai antara karya teater paling berpengaruh dalam industri seni persembahan tempatan.
Kini, Aisha memikul tanggungjawab besar untuk membawa watak berkenaan ke pentas dengan interpretasi baharu, sekali gus memenuhi jangkaan tinggi peminat terhadap karya yang sarat dengan elemen cinta, pengorbanan dan keagungan budaya Melayu itu.
Sebelum ini, Aisha secara terbuka menyatakan minatnya untuk terlibat dalam PGL The Musical, malah menyifatkan peluang tersebut sebagai impian yang telah lama dipendam sejak kecil.
Pementasan semula PGL The Musical yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif dan Pengarah, Tiara Jacquelina dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026 dan bakal menampilkan barisan pelakon generasi baharu bagi menghidupkan kembali kisah epik tersebut.
Selain watak Puteri Gunung Ledang, produksi berkenaan turut menampilkan karakter penting lain seperti Hang Tuah, Sultan Melaka, Adipati dan Bayan, yang akan diberi tafsiran baharu sesuai dengan cita rasa penonton masa kini.
Puteri Gunung Ledang The Musical merupakan adaptasi daripada filem epik tahun 2004 yang kemudiannya diterjemahkan ke pentas teater dan mendapat sambutan luar biasa, sekali gus menjadikannya antara naskhah paling berprestij dalam sejarah seni persembahan negara.
Dengan pelantikan Aisha Retno sebagai teraju utama, pementasan terbaharu ini dijangka terus mencuri perhatian penggiat seni dan peminat teater, khususnya generasi muda yang mengikuti perkembangan karya tersebut sejak sekian lama.