WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu berkata, Washington bersedia melancarkan serangan lanjut terhadap Tehran sekiranya Iran gagal bersetuju dengan perjanjian damai, namun memberi bayangan bahawa pihaknya masih boleh menunggu beberapa hari untuk memperoleh “jawapan tepat.”
Bercakap kepada media, Trump menggambarkan situasi semasa sebagai “di ambang genting” dan boleh meningkat dengan pantas pada bila-bila masa.
Enam minggu selepas beliau menghentikan Operasi Epic Fury bagi memberi laluan kepada gencatan senjata, rundingan untuk menamatkan konflik masih menunjukkan kemajuan yang terhad, selain tekanan kenaikan harga bahan api yang menjejaskan sokongan terhadap pentadbirannya.
“Percayalah, jika kita tidak mendapat jawapan yang tepat, keadaan boleh berubah dengan cepat. Kami sudah bersedia untuk bertindak,” katanya di Pangkalan Tentera Joint Base Andrews.
Ketika ditanya tempoh menunggu, Trump berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa hari, namun menegaskan keadaan boleh berubah dengan segera.
Dalam perkembangan sama, Iran memberi amaran terhadap sebarang serangan baharu.
Pengawal Revolusi Iran menyatakan sebarang “pencerobohan berulang” akan mencetuskan perang berskala lebih luas melangkaui rantau tersebut.
Tehran turut menubuhkan sebuah badan baharu dikenali sebagai“Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi” untuk mengawal pergerakan kapal di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan tenaga dunia.
Trump sekali lagi menegaskan pendirian AS untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.
“Kita berada di peringkat akhir berhubung Iran. Sama ada kita capai perjanjian atau kita mungkin terpaksa mengambil tindakan yang lebih keras, tetapi diharap ia tidak berlaku,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa sebaiknya jumlah korban dapat diminimumkan, walaupun tindakan ketenteraan masih menjadi pilihan.
Dalam usaha diplomatik, Trump dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang menyambut baik lanjutan gencatan senjata dan percaya penyelesaian munasabah masih boleh dicapai.
Sementara itu, Iran kekal terbuka kepada rundingan, namun Presidennya, Masoud Pezeshkian menegaskan usaha memaksa Tehran menyerah melalui tekanan adalah “sekadar ilusi.”
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei pula berkata, rundingan diteruskan dengan “kesungguhan dan niat baik”, namun pihaknya masih mempunyai keraguan terhadap pendekatan Washington.
Dalam perkembangan lain, Pakistan terus memainkan peranan sebagai pengantara dengan menyampaikan mesej antara kedua-dua pihak, ketika usaha diplomatik diperhebat.
Iran juga dilaporkan mengemukakan cadangan baharu minggu ini, namun kandungannya dipercayai masih mengekalkan tuntutan yang sebelum ini ditolak oleh Washington, termasuk kawalan ke atas Selat Hormuz, pampasan kerosakan perang, penghapusan sekatan dan pengunduran tentera AS.
Pada masa sama, konflik yang bermula sejak Februari telah menjejaskan bekalan tenaga global secara besar-besaran, dengan laluan Selat Hormuz kekal kritikal kepada perdagangan minyak dunia.
Tekanan juga semakin meningkat terhadap Trump untuk menamatkan peperangan, khususnya menjelang pilihan raya Kongres AS, ketika harga tenaga global kekal tidak menentu. - Agensi