BANGKOK: Kerajaan Thailand merancang memendekkan tempoh tinggal tanpa visa bagi pelancong dari 93 negara daripada 60 kepada 30 hari sebagai usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkaeow, berkata kementeriannya akan mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk kelulusan rasmi.
โLangkah ini penting bagi memperkukuh kawalan keselamatan domestik selain mengelakkan penyalahgunaan kemudahan visa oleh penjenayah asing,โ katanya dalam taklimat media, di sini.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan tarikh pelaksanaan cadangan berkenaan.
Sebelum ini, Thailand melanjutkan tempoh tinggal tanpa visa kepada 60 hari bagi rakyat dari 93 negara, termasuk Malaysia, sejak Julai 2024 bagi merangsang semula sektor pelancongan pasca-pandemik.
Pihak berkuasa imigresen dilaporkan mengesan peningkatan kes warga asing menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk bekerja secara haram serta terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian.
Walaupun tempoh itu dipendekkan, kerajaan Thailand menegaskan pelancong masih boleh memohon lanjutan tempoh tinggal di pejabat imigresen tempatan jika perlu.
Langkah terbaharu ini dijangka memberi kesan kepada jutaan pelancong jangka panjang, terutamanya pengembara beg galas (backpackers) dan pekerja digital nomad yang sering menjadikan Thailand sebagai destinasi utama di Asia Tenggara.