Skip to main content

Dunia

Tentera Laut IRGC, pasukan AS berbalas serangan di Selat Hormuz

Vessels anchored at the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, May 25, 2026. REUTERS/Stringer REFILE - CORRECTING INFORMATION FROM "VESSELS SAILING THROUGH THE STRAIT OF HORMUZ" TO "VESSELS ANCHORED AT THE STRAIT OF HORMUZ".
Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam dan pasukan Amerika Syarikat dilaporkan berbalas serangan di Selat Hormuz, pada awal pagi tadi. - Gambar fail Reuters

ISTANBUL: Televisyen kerajaan Iran pada awal Rabu melaporkan bahawa Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan pasukan Amerika Syarikat (AS) berbalas serangan di Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.

Agensi Berita Tasnim memetik pihak berkuasa di wilayah Hormozgan melaporkan, letupan yang kedengaran di Bandar Abbas, beberapa bandar pesisir dan pulau milik Iran berpunca daripada pertempuran di selat itu.

Agensi Berita Mehr turut melaporkan, letupan yang kedengaran di timur Sirik mempunyai kaitan dengan kejadian berbalas serangan di perairan Teluk berhampiran.

Laporan itu muncul susulan gelombang baharu letupan di beberapa lokasi di selatan Iran ketika konfrontasi ketenteraan antara Iran dan AS semakin memuncak.

Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata, pihaknya melancarkan satu lagi siri serangan terhadap Iran dengan menyasarkan keupayaan yang didakwa digunakan untuk menyerang kapal dagang di Selat Hormuz.

CENTCOM kemudian memaklumkan, pasukan AS menyambung semula sekatan laut terhadap kapal yang belayar menuju dan keluar dari pelabuhan serta kawasan pesisir Iran.

Menurut CENTCOM, lebih 20 kapal perang Tentera Laut AS dan ratusan pesawat tentera beroperasi di seluruh Asia Barat, sambil menegaskan bahawa pasukan Amerika kekal “berwaspada, berkeupayaan menyerang dan bersiap siaga”.

Ketegangan antara AS dan Iran berhubung Selat Hormuz meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan meskipun terdapat memorandum persefahaman bagi menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai berkekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement