Skip to main content

Dunia

Singapura sekat 14 hantaran media sosial disyaki ancam keharmonian kaum

41715152497_phonegeneric.jpg
Siasatan mendapati kandungan itu berkemungkinan berasal daripada sebuah platform berpangkalan di China sebelum disebarkan semula di platform dan laman sesawang lain. - Gambar hiasan

SINGAPURA: SINGAPURA, 6 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa Singapura mengeluarkan Arahan Memansuhkan (DD) bagi menyekat akses kepada 14 hantaran media sosial yang disyaki mempromosikan xenofobia, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan Pasukan Polis Singapura (SPF) mengeluarkan DD di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) 2023 bagi menangani kandungan yang tersebar di YouTube, Facebook dan X, yang menyasarkan komuniti India serta menggugat model masyarakat berbilang kaum Singapura.

Menurut MHA, DD berkenaan mewajibkan platform terbabit mengambil semua langkah munasabah untuk menyekat akses pengguna di Singapura terhadap hantaran berkenaan.

“Siasatan mendapati kandungan itu berkemungkinan berasal daripada sebuah platform berpangkalan di China sebelum disebarkan semula di platform dan laman sesawang lain.

“Ini merupakan usaha berniat jahat untuk mencetuskan perpecahan dengan menimbulkan permusuhan terhadap komuniti India di Singapura,” menurut kenyataan itu.

MHA memaklumkan siasatan mendapati hantaran berkenaan berkemungkinan membentuk kesalahan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan 1871 kerana dengan sengaja membangkitkan perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat antara kumpulan berbeza atas faktor kaum, atau melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan usaha mengekalkan keharmonian antara kumpulan kaum di Singapura.

Kementerian itu berkata Singapura menentang keras fahaman nativisme dan xenofobia, dan sebarang cubaan melaga-lagakan satu komuniti dengan komuniti lain di negara itu perlu ditolak secara tegas.

“Kerajaan memandang serius ancaman terhadap perpaduan sosial dan keharmonian kaum, termasuk yang berpunca daripada pihak luar, dan akan bertindak tegas terhadap mereka,” tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement