SINGAPURA: Singapura mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2026 pada kadar antara 2 hingga 4 peratus, meskipun prospek ekonomi dijangka semakin mencabar dalam tempoh mendatang berikutan peningkatan risiko, termasuk konflik di Asia Barat.
Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) memaklumkan, keputusan itu disokong oleh prestasi suku pertama yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Ekonomi republik itu berkembang 6 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac berbanding tahun sebelumnya, sekali gus melanjutkan pertumbuhan 5.7 peratus pada suku sebelumnya.
Bagaimanapun, MTI menegaskan, risiko penurunan terhadap prospek ekonomi Singapura kini meningkat dengan ketara dan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa, selain bersedia menyelaraskan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekiranya perlu.
Secara suku ke suku, ekonomi berkembang 1 peratus, sedikit perlahan berbanding 1.3 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan itu didorong prestasi kukuh sektor perdagangan borong, pembuatan serta kewangan dan insurans.
Menurut MTI, permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang kukuh menyumbang kepada pertumbuhan dalam segmen jentera, peralatan dan bekalan di bawah sektor perdagangan borong, selain memacu kluster elektronik dan kejuruteraan ketepatan dalam sektor pembuatan.
Sementara itu, sektor kewangan dan insurans menunjukkan pertumbuhan menyeluruh dengan prestasi stabil merangkumi perbankan, pengurusan dana serta urus niaga sekuriti.
Dalam perkembangan sama, konflik melibatkan Iran yang menjejaskan bekalan minyak mentah serta turunannya menyebabkan kenaikan harga dan gangguan bekalan, sekali gus memberi kesan negatif kepada segmen bahan api dan kimia dalam sektor perdagangan borong serta kluster kimia dalam sektor pembuatan.
Sebelum ini, pada Februari, MTI meningkatkan unjuran pertumbuhan 2026 kepada 2 hingga 4 peratus daripada 1 hingga 3 peratus susulan momentum pertumbuhan yang kukuh, didorong pelaburan AI global yang dijangka berterusan.
Namun, landskap ekonomi global kini bertambah lemah susulan konflik geopolitik yang sedang berlaku.
Gangguan terhadap bekalan tenaga serta input penting lain seperti baja dan aluminium akibat sekatan di Selat Hormuz telah meningkatkan kos tenaga dan input global, sekali gus menambah tekanan inflasi, menurut MTI.
Risiko penurunan ekonomi global meningkat
Secara keseluruhan, prospek permintaan luar Singapura bagi tahun ini menunjukkan kelemahan berbanding Februari lalu.
MTI memaklumkan, risiko penurunan terhadap ekonomi global kini meningkat secara signifikan.
Sekiranya gangguan bekalan tenaga dan input global berpanjangan sehingga menyebabkan kenaikan harga komoditi tenaga dan input utama secara berterusan, pertumbuhan global berpotensi merosot dengan ketara.
Selain itu, peningkatan semula tindakan tarif Amerika Syarikat berisiko menjejaskan pelaburan dan perbelanjaan di banyak ekonomi.
MTI turut memberi amaran kemungkinan berlakunya pengurangan mendadak dalam perbelanjaan modal berkaitan AI di peringkat global, yang boleh mencetuskan pembetulan ketara dalam pasaran kewangan, dengan kesan limpahan kepada ekonomi lebih luas.
Walaupun begitu, perbelanjaan berkaitan AI dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam kluster elektronik dan kejuruteraan ketepatan, selain memberi kesan limpahan positif kepada sektor ekonomi lain.
Dari sudut sektor, MTI menjelaskan, prospek industri berorientasikan eksport serta sektor yang bergantung kepada gas asli, minyak mentah dan bahan mentah lain semakin terjejas sejak tercetusnya konflik, dengan beberapa syarikat petrokimia mengisytiharkan force majeure.
Pada masa sama, peningkatan kos bahan api menjejaskan prospek permintaan dalam segmen pengangkutan udara dan air.
Bagi sektor domestik pula, sentimen pengguna yang lemah dijangka memberi tekanan kepada perbelanjaan, sekali gus menjejaskan sektor runcit serta perkhidmatan makanan dan minuman.
Bagaimanapun, kerajaan berharap langkah seperti pengagihan awal baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) pada Jun 2026 serta penambahbaikan bantuan kos sara hidup di bawah Belanjawan 2026 dapat membantu mengurangkan kesan tersebut. - CNA