KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 330 kanak-kanak terkorban atau cedera di Sudan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2026, dengan wilayah Darfur dan Kordofan mencatatkan bilangan korban kanak-kanak tertinggi, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin, lapor Xinhua.
"Kanak-kanak di seluruh Sudan terus menanggung beban akibat peperangan yang kini menjadi semakin serius," kata UNICEF dalam satu kenyataan akhbar.
Situasi di dalam dan sekitar El Obeid di Kordofan Utara amat membimbangkan, dengan serangan dron dan serangan lain dilaporkan menyebabkan lebih 35 korban kanak-kanak sejak Mei, termasuk sekurang-kurangnya 18 maut, katanya.
Serangan dron menyumbang kepada 60 peratus daripada jumlah korban berkenaan, dan dianggarkan 500,000 orang awam berada dalam risiko di kawasan itu, menurut kenyataan berkenaan.
"Bagi kebanyakan kanak-kanak, tiada lagi tempat yang selamat... kanak-kanak tidak boleh sama sekali dijadikan sasaran," kata Wakil UNICEF ke Sudan, Sheldon Yett, seperti yang dipetik dalam kenyataan itu.
Agensi itu turut menggesa semua pihak yang bertelagah agar melindungi orang awam serta infrastruktur awam, selain membenarkan akses kemanusiaan yang selamat, pantas dan tanpa sekatan.
Sejak konflik tercetus pada April 2023 antara Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), hampir lima juta kanak-kanak Sudan telah kehilangan tempat tinggal, menurut kenyataan akhbar UNICEF pada pertengahan April lepas.
Kira-kira 4.2 million kanak-kanak dijangka mengalami masalah kekurangan zat makanan yang akut pada tahun ini, manakala sekitar lapan juta lagi tidak dapat bersekolah, menurut kenyataan itu lagi.
-- BERNAMA-XINHUA