BERLIN: Gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz akibat perang di Iran sedang mengubah laluan perdagangan global, termasuk meningkatkan trafik melalui Terusan Panama apabila kapal tangki minyak mencari laluan alternatif, menurut persatuan perkapalan antarabangsa terkemuka.
Jumlah transit melalui Terusan Panama meningkat lapan peratus setakat tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan kapal tangki minyak menyumbang sebahagian besar peningkatan itu, menurut Majlis Maritim Antarabangsa dan Baltik (BIMCO) pada Khamis.
BIMCO berkata terusan itu mengendalikan purata 38 lintasan sehari tahun ini, hampir kepada kapasiti maksimum antara 36 hingga 40 transit harian.
Perubahan laluan itu berlaku ketika gangguan berterusan di Selat Hormuz, laluan utama perdagangan tenaga dunia, yang dikawal Iran selepas bermulanya serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada penghujung Februari. Ancaman, pemeriksaan dan serangan terhadap kapal sejak itu menyebabkan trafik melalui selat berkenaan hampir lumpuh sepenuhnya.
Selepas gencatan senjata dimulakan antara pihak bertelagah, Presiden AS Donald Trump pada April mengumumkan sekatan laut terhadap kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran.
Laporan terbaru penyedia data perkapalan Kpler menyatakan tiada kapal tangki yang membawa minyak mentah Iran berjaya melepasi sekatan itu.
Iran turut meningkatkan simpanan minyak secara mendadak di kapal dalam kawasan Teluk dan di darat sepanjang tempoh sekatan, menurut laporan itu. Jumlah minyak Iran yang disimpan di kapal di luar kawasan sekatan, berkurangan bulan lalu daripada 122 juta kepada 89 juta tong, yang masih boleh dijual. China dianggap pembeli utama minyak Iran.
Kpler berkata jika sekatan laut AS terus dikekalkan, hasil pendapatan minyak Iran boleh terhenti sepenuhnya dalam tempoh 60 hingga 70 hari.
-- BERNAMA-dpa