Skip to main content

Dunia

Salji musim panas yang jarang berlaku landa Mongolia, cetus amaran cuaca sejuk melampau

AP
Suhu tanah menurun sehingga serendah lima darjah Celsius di bawah paras beku, mencapai tahap kejadian cuaca buruk dan mencetuskan gelombang sejuk secara mendadak. - Gambar AP

ULAANBAATAR: Fenomena salji musim panas yang jarang berlaku melanda kawasan utara dan tengah Mongolia, termasuk wilayah Khuvsgul serta ibu negara Ulaanbaatar, dari malam Khamis hingga Jumaat, lapor Xinhua memetik Agensi Meteorologi dan Pemantauan Alam Sekitar Kebangsaan.

Di kawasan terbabit, suhu tanah menurun sehingga serendah lima darjah Celsius di bawah paras beku, mencapai tahap kejadian cuaca buruk dan mencetuskan gelombang sejuk secara mendadak.

Selain itu, hujan sejuk dan salji basah diramalkan melanda sebahagian besar negara itu, termasuk wilayah utara, timur dan tengah, sepanjang hujung minggu. Agensi meteorologi memberi amaran suhu tanah dijangka kekal sekitar atau di bawah sifar darjah Celsius, menyebabkan keadaan sejuk luar biasa bagi tempoh ini.

Walaupun Mongolia terkenal dengan iklim benuanya yang ekstrem serta musim sejuk yang panjang, kejadian salji pada musim panas adalah fenomena yang jarang berlaku.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement