Skip to main content

Dunia

Rundingan Iran dengan AS masih berjalan, biarpun mesyuarat di Switzerland ditangguh

Sumber: Ministry of Foreign Affairs of the Islamic Republic of Iran
Baghaei berkata rundingan mengenai perjanjian muktamad adalah tertakluk kepada pelaksanaan beberapa fasal dalam memorandum. - Foto fail

ISTANBUL: Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei memaklumkan pada Jumaat  bahawa rundingan melalui orang tengah sedang berjalan bagi fasa seterusnya dengan Amerika Syarikat (AS) untuk merangka perjanjian muktamad, selepas mesyuarat yang dirancang di Switzerland ditangguhkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap kepada pemberita di Tehran, Baghaei berkata butiran mengenai pusingan rundingan seterusnya akan diumumkan sebaik sahaja syarat-syarat untuk perbincangan itu dipenuhi.

Beliau mengesahkan bahawa mesyuarat di Switzerland yang dijadualkan pada Jumaat telah ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Baghaei berkata rundingan mengenai perjanjian muktamad adalah tertakluk kepada pelaksanaan beberapa fasal dalam memorandum, termasuk gencatan senjata, penarikan balik sekatan maritim AS, pembukaan semula laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, pengecualian untuk eksport minyak Iran serta pelepasan aset Iran yang dibekukan.

Beliau turut menafikan laporan bahawa Iran telah menjemput Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memeriksa kemudahan nuklearnya.

Baghaei berkata perbincangan mengenai program nuklear Iran akan berlangsung selama 60 hari di bawah memorandum berkenaan, manakala aktiviti nuklear sedia ada akan kekal tidak berubah dalam tempoh itu.

Beliau berkata pemeriksaan di tapak seperti Bushehr akan diteruskan, manakala akses ke kemudahan yang terjejas akibat serangan AS dan Israel akan bergantung kepada hasil rundingan.

Menurutnya,  satu daripada tujuan mesyuarat di Switzerland itu adalah untuk menandatangani memorandum dan membincangkan persiapan bagi rundingan peringkat akhir, namun ia tidak lagi diperlukan selepas dokumen berkenaan ditandatangani secara digital pada 18 Jun. Persiapan kini sedang dijalankan untuk satu lagi pertemuan dalam masa terdekat.

Terdahulu pada Jumaat, Kementerian Luar Switzerland menyatakan bahawa rundingan yang dirancang antara Amerika Syarikat, Iran, Qatar dan Pakistan telah dibatalkan dan ditangguhkan, sambil menambah bahawa pihaknya sentiasa bersedia untuk memudah cara dialog berkenaan.

Pengumuman itu dibuat selepas Rumah Putih memaklumkan bahawa Naib Presiden AS JD Vance tidak akan ke Switzerland berikutan isu logistik yang belum selesai bagi rundingan teknikal dengan Iran.

Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian menandatangani "Memorandum Persefahaman Islamabad" secara elektronik, yang diisytiharkan melalui pengantaraan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.

Memorandum berkenaan bertujuan membuka jalan bagi menamatkan konflik yang dilancarkan oleh Washington dan Tel Aviv terhadap Iran pada 28 Feb serta membuka semula Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada usaha meredakan ketegangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement