KINSHASA: Jumlah kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat kepada 933 kes, termasuk 245 kematian, menurut Menteri Kesihatan negara itu, Samuel Roger Kamba.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di wilayah Ituri, iaitu lokasi awal penularan wabak semasa.
Dalam perkembangan sama, Kamba memaklumkan seramai 80 pesakit yang dijangkiti Ebola telah pulih dan dibenarkan keluar dari pusat rawatan khas.
Walaupun terdapat pesakit yang sembuh, peningkatan jumlah kes dan kematian menunjukkan wabak itu masih berada pada tahap membimbangkan, khususnya di kawasan timur negara berkenaan.
Wabak Ebola terbaharu ini dikesan bermula di wilayah Ituri sebelum merebak ke beberapa kawasan lain di negara itu.
Pihak berkuasa kesihatan sedang memperhebatkan usaha mengekang penularan termasuk rawatan pesakit, pengesanan kontak rapat dan pemantauan komuniti.
Penularan wabak ini turut mencabar keupayaan sistem kesihatan di DRC yang berdepan kekangan sumber serta situasi keselamatan yang tidak menentu di beberapa kawasan.
Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) bersama rakan antarabangsa terus menyokong usaha kerajaan Congo melalui bantuan logistik, rawatan pesakit serta pelaksanaan langkah pencegahan.
Ebola merupakan penyakit virus serius yang boleh menyebabkan demam, pendarahan dalaman serta kegagalan organ dan sering membawa maut sekiranya tidak dirawat segera.
Wabak ini kerap berlaku di beberapa negara Afrika dan memerlukan tindak balas pantas bagi mengelakkan penularan meluas, terutama di kawasan berpenduduk padat dan mempunyai sistem kesihatan terhad.
Perkembangan terkini menunjukkan usaha berterusan diperlukan bagi mengawal penularan wabak tersebut dan mengurangkan angka kematian dalam kalangan penduduk terjejas.