Skip to main content

Dunia

Saintis kenal pasti meteorit nadir punca kepupusan dinosaur 66 juta tahun lalu

81747689965_DinosaurHerd.jpg
Analisis tersebut berjaya mengesan kesan nikel unik yang ditinggalkan oleh asteroid berkenaan walaupun sebahagian besar bahan asal dipercayai tersejat sejurus impak berlaku. -Gambar hiasan

VANCOUVER: Sekumpulan penyelidik antarabangsa berjaya mengenal pasti kelas meteorit yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kepupusan dinosaur kira-kira 66 juta tahun lalu sebagai kondrit karbon jenis Ornans (CO chondrite).

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances itu mendapati meteorit berkenaan dipercayai berasal daripada asteroid berukuran antara 10 hingga 15 kilometer yang menghasilkan kawah Chicxulub di Semenanjung Yucatán, Mexico, lapor The Independent.

Menurut pakar geokimia Universiti British Columbia (UBC), Dr Philippe Claeys, kondrit karbon jenis itu merupakan antara bahan paling primitif dalam Sistem Suria dan hanya mewakili kira-kira lima peratus daripada keseluruhan sampel meteorit yang ditemui di Bumi.

Penyelidik menjalankan analisis isotop nikel berketepatan tinggi terhadap sampel lapisan tanah liat purba yang dikumpulkan di Denmark, Sepanyol dan Itali.

Analisis tersebut berjaya mengesan kesan nikel unik yang ditinggalkan oleh asteroid berkenaan walaupun sebahagian besar bahan asal dipercayai tersejat sejurus impak berlaku.

Penemuan komposisi kimia itu turut menunjukkan meteorit terbabit mengandungi kandungan sulfur, karbon dan air yang lebih rendah berbanding anggaran dalam model kepupusan sebelum ini.

Menurut penyelidik, dapatan tersebut mencadangkan bahawa habuk dan serpihan halus yang terhambur ke atmosfera selepas pelanggaran asteroid mungkin memainkan peranan lebih besar dalam mencetuskan fenomena yang menyerupai "musim sejuk nuklear" berbanding gas sulfur daripada meteorit itu sendiri.

Kesan rantaian daripada peristiwa tersebut dipercayai menyebabkan kepupusan kira-kira 75 peratus spesies hidupan di Bumi, termasuk dinosaur.

Para saintis turut merumuskan bahawa asteroid yang membentuk kawah Chicxulub berkemungkinan berasal dari kawasan luar Lingkaran Asteroid berhampiran planet Musytari atau dari bahagian lebih jauh dalam Sistem Suria.

Penemuan itu memberikan gambaran baharu mengenai asal-usul objek angkasa yang mencetuskan antara peristiwa kepupusan terbesar dalam sejarah Bumi.

 

Must Watch Video

Advertisement