TEL AVIV: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan Israel telah menghantar sistem pertahanan udara Iron Dome bersama anggota tenteranya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membantu menangkis serangan dari Iran semasa konflik yang sedang berlangsung.
Pengesahan itu dibuat Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee, ketika berucap pada satu persidangan di Universiti Tel Aviv, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kerjasama ketenteraan sulit di antara Israel dan UAE sejak konflik bermula pada penghujung Februari lalu.
“Israel baru sahaja menghantar Iron Dome dan kakitangan untuk membantu mengendalikannya.
"Mengapa? Kerana terdapat hubungan luar biasa di antara UAE dan Israel yang terhasil daripada Perjanjian Abraham,” kata Huckabee, seperti dilaporkan Reuters.
Pada Isnin, Duta Besar AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz, mendedahkan UAE telah menggunakan sistem pertahanan berkenaan untuk memintas peluru berpandu dan dron Iran.
Menurut data Kementerian Pertahanan UAE, negara itu merupakan antara sasaran utama sepanjang konflik, dengan anggaran 550 peluru berpandu balistik dan lebih 2,200 dron dilancarkan ke wilayahnya.
Pengerahan tersebut dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam landskap keselamatan Asia Barat, apabila sistem Iron Dome digunakan secara aktif di luar wilayah Israel, sekali gus mengukuhkan kerjasama pertahanan serantau bagi mengekang ancaman dari Iran.
Selain penghantaran Iron Dome, Tentera Udara Israel turut dilapor melancarkan serangan udara ke atas tapak peluru berpandu jarak dekat di selatan Iran, sebagai usaha mengurangkan intensiti serangan ke atas negara-negara Teluk.
Setakat ini, pihak berkuasa UAE belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pengesahan terbuka yang dibuat oleh diplomat-diplomat AS itu.