ST PETERSBURG: Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan, beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk bertemu rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, bagi membincangkan penamatan perang yang masih berlarutan antara kedua-dua negara.
Kenyataan itu dibuat selepas Zelenskyy mengutus surat terbuka pada Khamis yang menggesa rundingan secara bersemuka bagi mencari jalan menamatkan konflik yang bermula susulan pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada 2022.
Dalam surat tersebut, Zelenskyy menegaskan adalah “salah untuk hanya menunggu” sehingga perang itu kembali menjadi tumpuan Amerika Syarikat, selain mencadangkan gencatan senjata sambil menggunakan nada tegas dan sinikal.
Bagaimanapun, Putin menyifatkan surat itu sebagai “biadab” dan menolak cadangan pertemuan tersebut, sambil menegaskan bahawa rundingan damai perlu didahulukan sebelum sebarang gencatan senjata dipersetujui.
“Saya tidak nampak ada sebarang manfaat buat masa ini,” kata Putin ketika ditanya mengenai tawaran Zelenskyy semasa forum ekonomi antarabangsa di sini.
Beliau turut mempersoalkan niat sebenar surat berkenaan, sama ada untuk membuka ruang pertemuan atau sebaliknya.
“Saya fikir ia lebih kepada yang kedua,” ujarnya.
Sebagai reaksi, Zelenskyy menyifatkan tindakan Rusia itu sebagai memilih untuk meneruskan perang.
“Dia langsung tidak mahu menamatkan perang. Ramai di seluruh dunia kecewa dengan jawapan ini,” katanya dalam mesej di Telegram.
Dalam masa sama, Putin menegaskan, gencatan senjata hanya akan memberi ruang kepada Ukraine untuk memperkukuh semula kedudukan ketenteraan, selain menyatakan tuntutan Moscow masih belum dipenuhi.
“Satu-satunya perkara ialah pihak Ukraine menghentikan kemaraan tentera kami. Namun apa yang diperlukan adalah perjanjian jangka panjang, bukan untuk enam bulan atau tiga bulan,” katanya.
Beliau menambah, sebarang pertemuan hanya wajar diadakan selepas pakar dari kedua-dua pihak merangka penyelesaian yang konkrit.
Putin turut menegaskan, peperangan hanya akan berakhir apabila objektif Rusia dicapai sepenuhnya.
“Tindakan ketenteraan ini pasti akan berakhir suatu hari nanti, tetapi hanya selepas matlamat kami dicapai,” katanya.
Sejak sekian lama, Rusia menuntut Ukraine berundur dari wilayah Donetsk, Luhansk, Kherson dan Zaporizhzhia selain menghentikan usaha menyertai NATO.
Namun, Kyiv bertegas, tidak akan menyerahkan wilayahnya, dengan alasan sebarang konsesi hanya akan mendorong Rusia melancarkan pencerobohan baharu pada masa depan.
Dalam suratnya, Zelenskyy turut menyindir usia dan tempoh pemerintahan Putin yang mencecah 26 tahun, selain merujuk serangan Ukraine ke atas wilayah Rusia termasuk di St Petersburg.
Putin bagaimanapun mengkritik kandungan surat tersebut sebagai mengandungi unsur tidak sopan.
Cadangan pertemuan itu sebelum ini turut mencetuskan harapan dalam kalangan pihak antarabangsa, termasuk White House, dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan ia sebagai sesuatu yang “baik” sekiranya direalisasikan. - Agensi