SINGAPURA: Presiden Vietnam, To Lam menegaskan pada Jumaat kepentingan Kepusatan ASEAN dalam memelihara keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau, selain menggesa perpaduan, dialog serta autonomi strategik di tengah-tengah persaingan geopolitik yang semakin sengit, lapor Xinhua.
Ketika menyampaikan ucaptama di Dialog Shangri-La 2026 di Singapura, Lam berkata, rantau Asia-Pasifik berkongsi kepentingan bersama dalam aspek keamanan, kesalinghubungan serta pembangunan, di samping mempunyai pengalaman luas dalam kerjasama pelbagai peringkat.
"Di sinilah ASEAN berfungsi sebagai rangka kerja untuk kerjasama, dialog dan keseimbangan," tegas beliau.
Pemimpin tertinggi Vietnam itu turut menyatakan bahawa ASEAN mempunyai motivasi serta tekad untuk memastikan persaingan tidak beralih kepada konfrontasi, talian kesalinghubungan tidak menjadi garis perpecahan dan keselamatan sesebuah negara tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara lain.
Kepusatan ASEAN tidak boleh dipandang remeh atau dianggap mampu bertahan dengan sendirinya, kata Lam sambil menekankan bahawa ia hanya boleh dipelihara menerusi perpaduan, autonomi strategik serta keupayaan untuk membentuk agenda bersama.
Rantau ini mengalu-alukan penglibatan yang telus, bertanggungjawab, menghormati undang-undang antarabangsa, menyokong kepusatan ASEAN, serta kondusif dalam mengurangkan ketegangan, kata beliau.
--BERNAMA-XINHUA