Skip to main content

Dunia

Pezeshkian nafi dakwaan letak jawatan, tekad berkorban untuk rakyat

Sumber: IRNA
PEZESHKIAN: Saya bersedia hadapi apa jua kesukaran termasuk mengorbankan nyawa dan kehidupan peribadi demi revolusi dan serta rakyat negara ini. - Gambar fail

PRESIDEN Iran Dr Masoud Pezeshkian menafikan dakwaan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Pemimpin Tertinggi Iran Mojtaba Khamenei seperti yang didakwa sesetengah media.

Pezeshkian menegaskan bahawa beliau dan pentadbirannya bersedia menghadapi apa jua cabaran, termasuk mengorbankan nyawa dan kehidupan mereka demi mempertahankan revolusi dan rakyat Republik Islam.

“Saya bersedia hadapi apa jua kesukaran termasuk mengorbankan nyawa dan kehidupan peribadi demi revolusi serta rakyat negara ini.

“Namun di sebalik pengorbanan ini, ia memerlukan kerjasama semua pihak melibatkan pemerintah dan rakyat dalam perjuangan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu klip video yang disiarkan saluran berita rasmi IRGC, Sepah News, ketika mesyuarat kabinet di Tehran, pada Ahad.

Pezeshkian turut menyatakan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab mengurus negara selagi hayat masih dikandung badan.

“Saya sendiri bersedia menghadapi apa jua kemungkinan. Hanya ada dua pilihan: sama ada kita mengurus negara dan kepimpinan dengan penuh kekuatan, atau kita gugur sebagai syahid,” katanya.

Beliau yang juga pakar bedah jantung itu turut menggesa media Iran meningkatkan kesedaran rakyat mengenai cabaran negara serta peranan masyarakat dalam menanganinya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru rakyat Iran berhemah dalam penggunaan bekalan tenaga negara melibatkan elektrik, gas dan sumber lain selaras dengan pengumuman Mojtaba sebelum ini.

Untuk rekod, Pezeshkian merupakan antara pemimpin tertinggi Iran yang tidak dilaporkan menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat dan Israel sejak konflik memuncak pada 28 Februari lalu, yang turut menyaksikan kematian Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Must Watch Video

Advertisement