Skip to main content

Dunia

Perpindahan besar-besaran berlaku di Beirut susulan ancaman serangan Israel

Traffic on a road as people make their way while fleeing the southern suburbs of Beirut, after Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu ordered the military to attack targets in the suburbs, Lebanon, June 1, 2026. REUTERS/Mohamed Azakir TPX IMAGES OF THE DAY
Gelombang perpindahan besar-besaran berlaku di pinggir selatan Beirut pada Isnin susulan ancaman Israel untuk mengebom ibu negara Lubnan itu meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa. - Foto REUTERS/Mohamed Azakir

BEIRUT: Gelombang perpindahan besar-besaran berlaku di pinggir selatan Beirut pada Isnin susulan ancaman Israel untuk mengebom ibu negara Lubnan itu meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jalan raya dan laluan masuk ke kawasan pinggir selatan mengalami kesesakan trafik yang teruk, dengan penduduk terperangkap selama beberapa jam sebelum bergerak menuju ke pusat Beirut, menurut wartawan Anadolu.

Ramai penduduk meninggalkan kediaman mereka selepas media Israel melaporkan tentera negara itu bercadang mengeluarkan amaran evakuasi bagi kawasan yang dijangka menjadi sasaran serangan.

Sementara itu, Universiti Lubnan menangguhkan peperiksaan di fakulti dan institutnya di Kampus Universiti Rafic Hariri di Hadath, Beirut serta bandar selatan Sidon sehingga minggu depan atas faktor keselamatan semasa.

Universiti itu dalam kenyataan berkata peperiksaan di cawangan lain akan diteruskan seperti dijadualkan.

Terdahulu pada Isnin, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera melancarkan serangan udara ke atas Beirut dalam peningkatan semula ketegangan meskipun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa sejak 17 April.

Arahan itu dikeluarkan menjelang pusingan baharu rundingan antara Beirut dan Tel Aviv di Washington di bawah pengantaraan AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement