Skip to main content

Dunia

Penduduk pesisir Teluk AS diingatkan bersiap sedia hadapi Ribut Bertha

[TB]_Hurricane Bertha_US National Oceanic and Atmospheric Administration
Ribut kedua bagi musim hurikan Atlantik 2026 itu dijangka membawa hujan lebat, ombak besar serta risiko banjir kilat di kawasan pesisir Teluk AS. -Foto National Oceanic and Atmospheric Administration

MIAMI: Pusat Hurikan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan notis kewaspadaan cuaca buruk susulan pembentukan Ribut Tropika Bertha di Teluk Mexico pada malam Isnin.

Ribut kedua bagi musim hurikan Atlantik 2026 itu dijangka membawa hujan lebat, ombak besar serta risiko banjir kilat di kawasan pesisir Teluk AS.

Pihak berkuasa meteorologi meletakkan kawasan dari Sungai Ochlockonee di Florida hingga ke sempadan tenggara Louisiana di bawah status Pantauan Ribut Tropika (Tropical Storm Watch), manakala Amaran Ribut Tropika (Tropical Storm Warning) dikuatkuasakan bagi kawasan dari sempadan Alabama-Florida hingga ke Muara Sungai Mississippi.

Bertha dilaporkan bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan angin maksimum berterusan sekitar 65 kilometer sejam (km/j) dan berpotensi terus menguat dalam tempoh terdekat.

Pakar meteorologi turut memberi amaran mengenai risiko luruan ribut yang boleh mengancam nyawa dengan paras air mencecah sehingga 1.2 meter di beberapa kawasan pesisir dan muara.

Fenomena itu dijangka menjejaskan sebahagian kawasan pantai Mississippi dan Louisiana sepanjang minggu ini.

Bagaimanapun, kehadiran debu Sahara serta ricihan angin yang kuat di atmosfera dijangka mengehadkan perkembangan ribut berkenaan daripada bertukar menjadi hurikan yang lebih kuat.

Penduduk di kawasan terjejas, khususnya dari barat Florida hingga ke tengah Texas, dinasihatkan membuat persediaan menghadapi taburan hujan antara lima hingga 10 sentimeter, dengan beberapa kawasan terpencil berpotensi menerima sehingga 20 sentimeter hujan yang boleh mencetuskan banjir kilat.

 

Must Watch Video

Advertisement