Skip to main content

Dunia

Pemeriksaan nuklear di Iran akan diteruskan meskipun dibantah - Ketua IAEA

Director General of the International Atomic Energy Agency (IAEA) Rafael Mariano Grossi speaks during an interview with Reuters in Abu Dhabi, United Arab Emirates, June 2, 2026. REUTERS/Amr Alfiky
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Mariano Grossi berkata pada Rabu pemeriksaan nuklear di tapak pengayaan Iran akan diteruskan meskipun dibantah Tehran. - Gambar fail/REUTERS

ISTANBUL: Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Mariano Grossi berkata pada Rabu pemeriksaan nuklear di tapak pengayaan Iran akan diteruskan meskipun dibantah Tehran, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik Euronews.

Merujuk kepada memorandum persefahaman yang ditandatangani antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, Grossi menolak penafian Iran bahawa negara itu bersetuju untuk membenarkan pemeriksaan nuklear semasa sidang media di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Jepun.

Perjanjian itu "secara jelas menyatakan bahawa aktiviti nuklear yang akan dijalankan berkaitan dengan kemudahan bahan nuklear akan diselia oleh IAEA  dalam setiap perinciannya," kata Grossi kepada pemberita.

"Sudah tentu, untuk melaksanakannya, kami perlu menjalankan pemeriksaan. Sama ada ia berlaku lusa, dalam tempoh seminggu atau 10 hari lagi, ia penting tetapi tidak mustahak. Ia pasti akan berlaku," katanya lagi.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pada Selasa menegaskan bahawa Iran akan membenarkan pemeriksa nuklear memasuki negara itu walaupun Tehran menafikannya, sambil menyatakan bahawa pemeriksa akan berada di lapangan "pada masa yang sesuai."

Bercakap kepada pemberita, Trump menolak dakwaan Iran bahawa tiada lawatan dijadualkan untuk pemeriksa IAEA walaupun Naib Presiden AS, JD Vance, sebelum ini mengumumkan bahawa Iran telah bersetuju untuk membenarkan semula pemeriksa nuklear memasuki negara itu.

AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman secara jarak jauh minggu lepas, sekali gus memulakan tempoh rundingan selama 60 hari bagi menyelesaikan pertikaian, termasuk mengenai nasib stok uranium diperkaya Iran, program nuklearnya serta isu lain yang masih belum diselesaikan.

Dokumen 14 perkara itu menggesa penamatan segera dan berkekalan terhadap operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan, penamatan sekatan laut terhadap Iran, serta laluan selamat untuk kapal komersial melalui Selat Hormuz.

Ia turut merangkumi pelan pembinaan semula dan pembangunan ekonomi untuk Iran bernilai sekurang-kurangnya US$300 bilion, pengecualian eksport minyak, pelepasan aset Iran yang dibekukan, serta pengesahan oleh Tehran bahawa negara itu tidak akan membangunkan senjata nuklear.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement