STRASBOURG: Parlimen Eropah menyokong pengenalan euro digital dengan majoriti besar di Strasbourg pada Khamis, sekali gus membuka jalan bagi perbincangan mengenai kerangka undang-undang untuk mata wang Eropah bersama versi elektronik itu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Rundingan antara Parlimen dan negara anggota dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan ini, selepas 416 perwakilan mengundi menyokong, 169 membantah dan 22 berkecuali.
Langkah itu bertujuan membolehkan euro digital melengkapkan, namun bukan menggantikan wang tunai.
Setakat ini, penyedia perkhidmatan dari Amerika Syarikat (AS) termasuk PayPal, Mastercard dan Visa mendominasi pasaran pembayaran digital di Eropah.
Bank-bank pusat zon euro kini menyasarkan untuk menyediakan alternatif kepada perkhidmatan berkenaan.
Mata wang baharu itu akan tersedia untuk penggunaan secara dalam talian dan luar talian selain memastikan perlindungan data pengguna.
Perkhidmatan asas seperti pembukaan akaun dan pengurusan baki adalah percuma.
Bank-bank pusat zon euro telah bertahun-tahun mengusahakan versi digital mata wang berkenaan dan kini menyasarkan pelancarannya pada tahun 2029, dengan projek rintis dijangka bermula tahun depan.
--BERNAMA-dpa