SYARIKAT penerbangan Norwegian Air terpaksa menukar logo Instagram mereka kepada logo British Airways selepas kalah dalam pertaruhan media sosial susulan keputusan suku akhir Piala Dunia 2026 pada Sabtu.
Gimik pemasaran digital itu bermula apabila Norwegian Air mencabar British Airways di Instagram dengan menyatakan syarikat penerbangan dari negara yang tewas dalam perlawanan England menentang Norway perlu memaparkan logo pesaing selama 24 jam.
British Airways menerima cabaran itu dengan membalas, "Jangan buat taruhan yang anda tidak boleh menang", sekali gus mencetuskan perang siber yang tular dalam kalangan peminat bola sepak di media sosial.
Selepas England menewaskan Norway 2-1 menerusi masa tambahan di Miami, Norwegian Air menepati janji mereka dengan menukar gambar profil Instagram kepada logo Speedmarque milik British Airways.
Syarikat penerbangan Norway itu turut memuat naik grafik khas dengan kenyataan "It's Coming Home" serta mengucapkan tahniah kepada England dan British Airways atas kejayaan mara ke separuh akhir.
Gelagat korporat itu turut menarik perhatian beberapa syarikat penerbangan lain termasuk Malaysia Airlines, Austrian Airlines dan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa yang menyertai ruangan komen dengan pelbagai gurauan.
Walaupun kedua-dua syarikat penerbangan itu bukan rakan penaja rasmi FIFA, kempen spontan berkenaan berjaya meraih perhatian jutaan pengguna media sosial dan menerima maklum balas positif daripada warga maya yang memuji semangat kesukanan kedua-dua pihak.