Skip to main content

Dunia

Netanyahu tingkatkan serangan di Lubnan, konflik Israel-Hezbollah kian memuncak

Plumes of smoke billow from southern Lebanon following Israeli strikes in Nabatieh, Lebanon May 25, 2026. REUTERS/Stringer TPX IMAGES OF THE DAY
Angkatan Pertahanan Israel menyasarkan lokasi Hezbollah di Lembah Bekaa di timur Lubnan, selain beberapa kawasan lain di seluruh negara berkenaan. - Gambar Reuters

BAITULMAQDIS: Israel melancarkan gelombang serangan baharu ke atas beberapa kawasan di Lubnan susulan arahan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk memperhebat operasi ketenteraan terhadap kumpulan Hezbollah.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan, serangan itu menyasarkan lokasi Hezbollah di Lembah Bekaa di timur Lubnan, selain beberapa kawasan lain di seluruh negara berkenaan.

Dalam kenyataan video pada Isnin, Netanyahu menegaskan, Israel kini “sedang berperang dengan Hezbollah” dan mengarahkan tenteranya supaya memberikan “pukulan hebat” terhadap kumpulan itu.

Perkembangan itu berlaku meskipun Lubnan dan Israel baru-baru ini bersetuju melanjutkan gencatan senjata selama 45 hari, dengan pertempuran berskala kecil masih dilaporkan berterusan.

Situasi terbaharu turut mencetuskan kebimbangan kemungkinan serangan Israel akan diperluaskan ke ibu negara Lubnan, Beirut.

Netanyahu mendakwa, operasi ketenteraan Israel setakat ini telah menghapuskan lebih 600 anggota Hezbollah, namun menegaskan keperluan untuk meningkatkan lagi intensiti serangan.

Sejak gencatan senjata dimeterai pada 16 April, kebanyakan serangan Israel tertumpu di selatan Lubnan, kawasan di mana tentera Israel masih ditempatkan serta menjadi lokasi pelancaran dron dan roket ke arah Israel.

Lembah Bekaa yang menjadi sasaran serangan terbaharu terletak berhampiran sempadan Syria di timur Lubnan.

Tindakan memperluas kempen ketenteraan Israel berlaku ketika Iran menegaskan bahawa sebarang perjanjian damai dengan Amerika Syarikat perlu merangkumi gencatan senjata menyeluruh di rantau itu.

Kerajaan Israel bagaimanapun kekal dengan pendirian untuk tidak menamatkan operasi terhadap Hezbollah.

Sejak gencatan senjata dicapai, sekurang-kurangnya 10 tentera Israel dilaporkan terbunuh, manakala lebih 400 individu di Lubnan maut akibat serangan udara Israel, termasuk anggota perubatan dan pasukan penyelamat.

Selain itu, Israel mengeluarkan arahan hampir setiap hari kepada penduduk di selatan Lubnan supaya meninggalkan kediaman masing-masing, sekali gus menambah jumlah pelarian yang kini melebihi satu juta orang.

Konflik semasa tercetus selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, dengan Hezbollah bertindak balas melancarkan roket ke arah Israel.

Israel kemudian membalas dengan kempen serangan udara dan operasi darat berskala besar di Lubnan, yang menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu telah mengorbankan lebih 3,000 orang.

Kerajaan Lubnan kini berusaha melucutkan senjata Hezbollah, namun menegaskan, gencatan senjata kekal penting bagi memastikan proses tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement