WASHINGTON DC (AMERIKA SYARIKAT): Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance berlepas dari Washington untuk menyertai rundingan dengan pegawai Iran yang dijadual berlangsung pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
"Naib Presiden JD Vance berlepas dari Washington, D.C. menuju ke Switzerland," menurut jurucakap Vance, Luke Schroeder menerusi platform media sosial X.
Rundingan itu akan berlangsung di Burgenstock di bawah rangka Memorandum Persefahaman Islamabad, menurut Kementerian Luar Pakistan.
Vance sebelum ini memaklumkan bahawa utusan AS Jared Kushner dan Steve Witkoff telah berada di lokasi bagi menangani aspek teknikal rundingan berkenaan.
Beliau turut menyatakan keyakinan tinggi bahawa Washington dan Tehran mampu mengekalkan gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.
-- BERNAMA-ANADOLU