BRUSSELS: Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) akan bertemu di sini pada Isnin untuk membincangkan situasi di Asia Barat, termasuk sama ada akan mengenakan sekatan tambahan ke atas perluasan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Suruhanjaya Eropah (EC) telah menyediakan pelbagai pilihan untuk rundingan itu, termasuk sekatan dan larangan ke atas import barangan dari penempatan Israel. Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada 27 negara anggota EU akan menerima pakai pendirian bersama mengenai isu tersebut.
Sepanyol, Ireland dan Belgium menggesa agar sekatan berat dikenakan ke atas Israel kerana dasar pendudukannya, manakala yang lain, termasuk Jerman, setakat ini menentang langkah sedemikian.
Jika sekatan perdagangan diklasifikasikan sebagai sekatan dasar luar, ia hanya boleh diterima pakai sebulat suara. Jika tidak, mereka masih memerlukan majoriti, bermakna 15 daripada 27 negara anggota yang mewakili 65 peratus daripada jumlah penduduk blok itu perlu menyokong sekatan perdagangan.
Topik lain dalam agenda termasuk perkembangan terkini perang Iran serta pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Para menteri dijangka bersetuju menerima sekatan lanjut ke atas individu, entiti dan organisasi Rusia, walaupun setakat ini tidak jelas sama ada pakej baharu yang meluas yang mengandungi sekatan perdagangan boleh dikuatkuasakan.
Menteri Luar Ukraine Andrii Sybiha telah diundang menyertai menteri EU untuk perundingan tidak rasmi.
-- BERNAMA-dpa