Skip to main content

Dunia

Menteri Israel Ben-Gvir dihalang masuk Perancis

FILE PHOTO: Israeli National Security Minister Itamar Ben-Gvir speaks to members of the media on the day the Supreme Court hears a petition seeking to force Prime Minister Benjamin Netanyahu to remove him, in Jerusalem, April 15, 2026. REUTERS/Ronen Zvulun/File Photo
Ben-Gvir (tengah) bercakap kepada media di Baitulmaqdis, 15 April 2026. - Gambar fail/REUTERS

PARIS: Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot pada Sabtu mengumumkan bahawa Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir dilarang memasuki Perancis berkuat kuasa serta-merta, lapor Xinhua.

Dalam catatan di platform media sosial X, Barrot berkata keputusan itu susulan tindakan melampau Ben-Gvir terhadap warga Perancis dan Eropah yang menyertai gerakan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza.

"Kami tidak boleh bertolak ansur apabila warga Perancis diancam, diugut atau dikenakan keganasan dengan cara sedemikian, terutamanya oleh pegawai awam," kata Barrot.

Beliau turut menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk mengenakan sekatan ke atas Ben-Gvir.

Ratusan peserta daripada armada bantuan ke Gaza itu telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod Israel pada Rabu, ketika Ben-Gvir mengeluarkan video yang menunjukkan sebahagian daripada mereka dibelenggu dan ditekan ke tanah.

Dalam video, yang dikeluarkan oleh Ben-Gvir pada saluran media sosialnya, puluhan aktivis ditunjukkan sedang melutut di atas lantai, membongkok ke hadapan dengan kepala ke bawah dan tangan diikat ke belakang dengan ikatan zip, sambil lagu kebangsaan Israel dimainkan dengan kuat menerusi pembesar suara.

Penganjur GSF berkata kapal tentera laut Israel memintas semua kapal dalam konvoi di perairan antarabangsa, kira-kira 250 batu nautika dari pantai Gaza.

Menurut penganjur, 428 aktivis telah "diculik" oleh Israel selepas pemintasan bermula pada pagi Isnin.

Barrot pada Rabu mengecam layanan aktivis GSF, menggelar tindakan pihak Israel "tidak boleh diterima" dan mengumumkan bahawa duta Israel ke Perancis akan dipanggil.

-- BERNAMA-XINHUA 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement