Skip to main content

Dunia

Maldives bakal jejak pengembara asing di bawah sistem digital baharu

Insta @immigrationmv
Ali Ihusaan berkata sistem itu akan membantu pihak berkuasa bertindak balas lebih pantas ketika kecemasan maritim, termasuk kes penumpang hilang semasa perjalanan bot. - Gambar Instagram @immigrationmv.jpg

MALE (MALDIVES): Maldives akan memperkenalkan sistem pengesanan untuk warga asing yang melancong di dalam negara selepas melengkapkan program pendigitalan Maldives 2.0, kata menteri pada Sabtu, lapor Xinhua.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Buruh dan Teknologi Ali Ihusaan memberitahu media negara Maldives PSM News bahawa sistem itu akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti dan mendaftar warga asing yang menaiki dan meninggalkan kapal di setiap lokasi dalam rangkaian pengangkutan.

Beliau berkata sistem itu akan membantu pihak berkuasa bertindak balas lebih pantas ketika kecemasan maritim, termasuk kes penumpang hilang semasa perjalanan bot.

Menteri berkata pelan itu juga merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk menguruskan pekerja asing dan menangani pendatang tanpa izin di negara pulau itu.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang berusaha untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin sambil menambah baik saluran undang-undang membawa pekerja asing ke negara ini.

Kerajaan juga membangunkan "senarai putih" majikan asing dengan rekod kawal selia yang bersih dan sejarah membayar yuran yang ditetapkan.

Syarikat dalam senarai itu akan menerima kelulusan lebih cepat melalui sistem digital, kata Ihusaan.

Maldives turut melancarkan Operasi Kurangi, satu inisiatif di seluruh negara untuk mengumpul maklumat mengenai pekerja asing.

Program itu termasuk pendaftaran biometrik di majlis tempatan untuk menambah baik pengenalan dan dokumentasi warga asing.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video