SEOUL: Menteri luar Korea Selatan dan Timor-Leste pada Isnin bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang perubahan iklim, infrastruktur, pembangunan sumber manusia serta bidang lain yang menjadi kepentingan bersama, menurut Kementerian Luar Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut kementerian itu, persetujuan berkenaan dicapai dalam pertemuan antara Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun dan rakan sejawatnya dari Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas yang berlangsung di Seoul pada awal hari berkenaan.
Lawatan Freitas merupakan kunjungan rasmi pertama ke Korea Selatan oleh menteri luar Timor-Leste sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada 2002.
Beliau bagaimanapun pernah melawat negara itu dua kali, iaitu pada 2010 dan 2011 ketika mengetuai agensi latihan vokasional dan pekerjaan Timor-Leste.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan sumber manusia dan pembinaan kapasiti kerajaan, yang dianggap Timor-Leste sebagai antara keutamaan utama pembangunan negara.
Kedua-dua menteri turut membincangkan langkah untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang berkaitan perubahan iklim, termasuk projek pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), di samping hal ehwal maritim, infrastruktur dan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras jenayah rentas negara.
Cho mengulangi sokongan Seoul terhadap penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN serta berikrar untuk terus membantu penyertaan negara itu dalam blok serantau berkenaan.
Freitas pula menyatakan sokongan terhadap visi Korea Selatan bagi mewujudkan Perkongsian Strategik Komprehensif dengan ASEAN serta pelbagai inisiatif kerjasama di bawah kerangka kerja tersebut.
Timor-Leste menjadi anggota ke-11 ASEAN pada Oktober 2025.
Dalam pertemuan itu, Cho turut menekankan hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara dengan mengimbau penugasan unit pengaman Sangnoksu dari Korea Selatan ke Timor-Leste sepanjang proses kemerdekaan dan pembinaan negara itu dari 1999 hingga 2003.
"Cho menjelaskan visi dasar Seoul mengenai kewujudan bersama secara aman dengan Korea Utara, manakala Freitas menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu.
"Kedua-dua menteri juga bersetuju untuk terus bekerjasama dalam menggalakkan keamanan dan kestabilan di peringkat serantau serta global," menurut kenyataan kementerian itu.
-- BERNAMA-YONHAP