Skip to main content

Dunia

Korea Selatan keluar amaran gelombang haba kecemasan pertama

61740874239_TBSouthKorea.jpg
Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) mengeluarkan amaran tersebut pada jam 10 pagi Ahad bagi dua bandar di wilayah Gyeongsang Utara, iaitu Gyeongsan dan Pohang. -Gambar fail

SEOUL: Korea Selatan mengeluarkan amaran gelombang haba kecemasan buat kali pertama sejak sistem amaran baharu itu diperkenalkan tahun ini, sekali gus menasihati orang ramai supaya menghentikan sebarang aktiviti luar.

Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) mengeluarkan amaran tersebut pada jam 10 pagi Ahad bagi dua bandar di wilayah Gyeongsang Utara, iaitu Gyeongsan dan Pohang, lapor AFP.

Di bawah sistem baharu itu, amaran gelombang haba kecemasan akan dikeluarkan sekiranya sesuatu kawasan diramal mencatatkan suhu dirasai (perceived temperature) sekurang-kurangnya 38 darjah Celsius atau suhu sebenar mencecah 39 darjah Celsius untuk tempoh sehari.

Ketua KMA, Lee Mi-seon, berkata sistem amaran baharu itu diperkenalkan bagi menangani peningkatan kekerapan gelombang haba di negara berkenaan yang dikesan semakin panjang dan sengit.

"Amaran gelombang haba kecemasan ini bukan sekadar bermaksud cuaca terlalu panas.

"Ia menunjukkan keadaan cuaca ekstrem yang boleh menyebabkan golongan sihat turut berdepan risiko bahaya yang tinggi, termasuk penyakit berkaitan haba dan strok haba yang boleh membawa maut," kata Mi-seon.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai yang sedang melakukan aktiviti luar supaya berhenti serta-merta dan berpindah ke tempat yang teduh atau lebih sejuk.

Data KMA menunjukkan purata tahunan bilangan hari gelombang haba di Korea Selatan meningkat lebih dua kali ganda kepada 19 hari sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini, berbanding lapan hari pada era 1970-an.

 

Must Watch Video

Advertisement