Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: AS tingkat serangan ke atas Iran, Tehran beri amaran sedia hadapi perang

The USS George H.W. Bush aircraft carrier is seen anchored off Stokes Bay in the Solent, Britain, July 27, 2017. REUTERS/Hannah McKay/File
Amerika Syarikat meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Iran menerusi siri serangan udara yang menyasarkan sistem pertahanan pesisir pantai dan tapak peluru berpandu negara itu, ketika ketegangan antara kedua-dua pihak terus memuncak susulan kegagalan gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini. - Gambar Reuters

DUBAI: Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Iran menerusi siri serangan udara yang menyasarkan sistem pertahanan pesisir pantai dan tapak peluru berpandu negara itu, ketika ketegangan antara kedua-dua pihak terus memuncak susulan kegagalan gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini.

Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas Washington menguatkuasakan semula sekatan maritim ke atas pelabuhan Iran, sekali gus mencetuskan amaran keras daripada Tehran yang menegaskan ia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan demi mempertahankan kedaulatan negara.

Situasi semakin meruncing sejak Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz hujung minggu lalu, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi kepada sebahagian besar perdagangan minyak dunia.

Pusat Perintah AS (CENTCOM) mengesahkan pasukannya melancarkan dua gelombang serangan yang menyasarkan lokasi penyimpanan serta pelancaran peluru berpandu di Pulau Greater Tunb, Iran.

Menurut CENTCOM, operasi itu bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan Iran yang didakwa mengancam keselamatan kapal perdagangan yang melalui Selat Hormuz.

Pegawai AS turut memaklumkan, serangan berkenaan sebahagian daripada usaha untuk membuka semula laluan perkapalan tersebut, selain melumpuhkan aset pertahanan Iran sebagai persediaan menghadapi kemungkinan operasi yang lebih besar.

Dalam satu insiden berasingan, tentera AS dilaporkan melepaskan peluru berpandu Hellfire ke arah sebuah kapal tangki minyak kosong yang sedang menuju ke Pulau Kharg selepas kapal itu didakwa gagal mematuhi arahan amaran awal.

Sementara itu, media Iran melaporkan beberapa kawasan di bandar Ahvaz dan Bandar Abbas menjadi sasaran serangan, namun setakat ini tiada laporan rasmi mengenai kematian atau kecederaan.

Agensi berita Tasnim pula melaporkan, beberapa letupan kedengaran di Konarak, selain aktiviti ketenteraan dikesan berhampiran kawasan Sirik dan Pulau Qeshm.

Dalam perkembangan berkaitan, stesen penyiaran milik kerajaan Iran, IRIB mendakwa, serangan AS turut menjejaskan kawasan berhampiran sebuah hospital yang menempatkan pusat rawatan kanser kanak-kanak di Ahvaz, menyebabkan proses pemindahan sementara pesakit terpaksa dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.

Ketua Perunding Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, menegaskan, penguasaan terhadap Selat Hormuz merupakan elemen penting kepada keselamatan negaranya dan menyifatkan konflik yang sedang berlaku sebagai perjuangan mempertahankan kelangsungan negara.

Konflik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu terus menjejaskan kestabilan rantau itu dan mencetuskan kebimbangan dunia terhadap keselamatan bekalan tenaga global, khususnya sekiranya ketegangan di Selat Hormuz terus memuncak. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement