Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Serangan di Hormozgan, Iran ragut satu nyawa

1 killed, 2 wounded in latest attacks on southern Iran: media_REUTERS
Menurut laporan agensi berita separa rasmi Tasnim, semua mangsa merupakan kakitangan syarikat telekomunikasi wilayah berkenaan.

BEBERAPA kawasan di wilayah Hormozgan, selatan Iran, diserang pada Ahad malam mengakibatkan seorang maut dan dua lagi cedera di Pulau Farur. 

Menurut laporan agensi berita separa rasmi Tasnim, semua mangsa merupakan kakitangan syarikat telekomunikasi wilayah berkenaan.

Sebelum itu, agensi berita separa rasmi Fars melaporkan bunyi letupan kedengaran di bandar pelabuhan Bandar Abbas dan Pulau Qeshm, kedua-duanya terletak di Hormozgan.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA, pula memetik Gabenor Qeshm, Hossein Amir-Teymouri sebagai berkata, antara 10 hingga 11 peluru berpandu “musuh” telah mengenai pulau berkenaan. 

Namun, beliau mendakwa, hanya sasaran ketenteraan yang terkena dan tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, media Amerika Syarikat melaporkan tentera negara itu melancarkan beberapa serangan ke atas sistem peluru berpandu dan pertahanan udara Iran, selain menyasarkan bot laju milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) di beberapa lokasi sekitar Selat Hormuz.

Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata dalam satu hantaran di X bahawa pasukannya melancarkan serangan tambahan ke atas Iran bagi “melemahkan keupayaan mereka menyerang pelaut awam dan kapal komersial yang melalui Selat Hormuz”.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas IRGC melancarkan serangan balas terhadap aset Amerika Syarikat di rantau tersebut, termasuk pangkalan udara AS di Jordan, sistem pertahanan udara Patriot di Kuwait, kemudahan komunikasi serta radar tentera AS di Bahrain, dan Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar.

Must Watch Video

Advertisement