Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Netanyahu, Trump sependapat perjanjian Iran mesti hapus ancaman nuklear

U.S. President Donald Trump points his finger towards Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu as they shake hands during a press conference after meeting at Trump’s Mar-a-Lago club in Palm Beach, Florida, U.S., December 29, 2025. REUTERS/Jonathan Ernst TPX IMAGES OF THE DAY
Netanyahu (kiri) dan Trump sepakat bahawa sebarang perjanjian muktamad dengan Iran mesti menghapuskan ancaman nuklear yang ditimbulkan oleh Tehran. - Gambar fail Reuters

JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan, beliau dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sepakat bahawa sebarang perjanjian muktamad dengan Iran mesti menghapuskan ancaman nuklear yang ditimbulkan oleh Tehran.

Dalam hantaran di Telegram, Netanyahu menjelaskan, perkara itu hanya boleh dicapai melalui pembongkaran kemudahan pengayaan nuklear Iran serta penyingkiran sepenuhnya bahan nuklear diperkaya dari wilayah negara tersebut.

Menurut satu sumber Israel, perkara itu dimaklumkan Netanyahu kepada Trump semasa perbualan telefon pada Sabtu, yang turut menyentuh perkembangan rundingan antara Washington dan Tehran.

Dalam perbualan sama, Netanyahu turut menegaskan, Israel perlu kekal mempunyai kebebasan untuk bertindak terhadap sebarang ancaman di Lubnan.

Sumber itu turut memaklumkan bahawa AS sentiasa mengemas kini Israel mengenai perkembangan rundingan dengan Iran.

“Presiden Trump menegaskan beliau akan kekal bertegas dalam rundingan, dengan tuntutan berterusan agar program nuklear Iran dibongkar sepenuhnya dan semua uranium diperkaya dikeluarkan dari wilayahnya.

“Beliau juga tidak akan menandatangani sebarang perjanjian muktamad sekiranya syarat ini tidak dipenuhi,” kata sumber berkenaan.

Sebelum ini, Trump menyatakan, Washington dan Tehran telah “sebahagian besarnya” mencapai kata sepakat terhadap memorandum persefahaman bagi perjanjian damai, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz — laluan perkapalan penting yang terjejas sejak konflik bermula pada Februari. 

Serangan Israel di Lubnan

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, dua individu terbunuh, termasuk seorang paramedik yang berkait dengan Jawatankuasa Kesihatan Islam bersekutu Hezbollah, dalam serangan udara Israel di selatan negara itu pada Ahad.

Serangan berturut-turut di bandar Arab Salim, daerah Nabatieh, turut menyebabkan beberapa anggota penyelamat cedera.

Kementerian itu mengecam siri serangan berterusan terhadap sektor kesihatan dan kecemasan di selatan Lubnan.

Pasukan penyelamat yang terlibat turut dikaitkan dengan Persatuan Risala Scouts yang mempunyai hubungan dengan gerakan Amal, sekutu Hezbollah.

Sementara itu, tokoh politik Israel, Benny Gantz memberi amaran bahawa menerima gencatan senjata di Lubnan sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Iran merupakan satu kesilapan strategik.

Beliau menegaskan, Israel tidak seharusnya berkompromi dalam operasi ketenteraan yang mensasarkan militia Hezbollah yang disokong Iran. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement