BEIRUT: Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem, menegaskan bahawa isu persenjataan kumpulan pejuang itu bukan sebahagian daripada agenda rundingan damai dengan Israel dan merupakan urusan dalaman Lubnan.
Dalam ucapan terbaharunya hari ini, Qassem berkata Hezbollah tidak akan berundur daripada medan tempur dan memberi amaran akan menjadikan wilayah berkenaan 'neraka' kepada tentera Israel sekiranya pencerobohan diteruskan.
“Tiada pihak di luar Lubnan yang mempunyai hak untuk mencampuri atau bersuara mengenai senjata, pejuang atau apa-apa urusan dalaman negara ini,” katanya seperti dilaporkan Al Jazeera.
Beliau menggariskan lima tuntutan utama yang perlu dipenuhi menerusi kerjasama dengan kerajaan Lubnan bagi mencapai keamanan, antaranya penamatan pencerobohan Israel, pengunduran penuh tentera dari wilayah diduduki serta pembebasan tahanan.
Qassem berkata tuntutan lain termasuk membenarkan penduduk kembali ke selatan Lubnan dan melaksanakan proses pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat peperangan.
Menurutnya, sebarang penyusunan semula keselamatan dalaman hanya akan dipertimbangkan dalam rangka strategi keselamatan nasional selepas semua tuntutan tersebut dipenuhi sepenuhnya oleh pihak lawan.
Kenyataan itu dibuat ketika Israel terus menuntut pelucutan senjata Hezbollah di selatan Lubnan sebagai syarat utama kepada mana-mana perjanjian gencatan senjata jangka panjang di Asia Barat.
Setakat ini, lebih 1.2 juta penduduk Lubnan dilaporkan kehilangan tempat tinggal sejak konflik tercetus pada penghujung Februari, dengan kerosakan besar terhadap infrastruktur di selatan negara tersebut.