Skip to main content

Dunia

Kereta api rempuh van sekolah, empat termasuk dua remaja maut

This video grab shows rescue workers on the scene of a crash between a train and vehicle in Buggenhout, Belgium, Tuesday, May 26, 2026. (VTM via AP)
Impak pelanggaran itu menyebabkan van mini remuk dan terbalik di bahu jalan berhampiran landasan, menurut syarikat pengendali infrastruktur rel Belgium, Infrabel. -Foto AP

BUGGENHOUT: Empat individu termasuk dua remaja dilaporkan maut selepas sebuah van mini sekolah dirempuh kereta api di lintasan kereta api di pekan Buggenhout, utara Belgium, hari ini.

Kemalangan berlaku jam 8.08 pagi waktu tempatan ketika kenderaan yang membawa tujuh kanak-kanak berkeperluan khas sedang melalui lintasan tersebut.

Syarikat pengendali infrastruktur rel Belgium, Infrabel, memaklumkan impak kuat pelanggaran itu menyebabkan van mini terbabit remuk dan terbalik di bahu jalan berhampiran landasan.

Menteri Mobiliti Belgium Jean-Luc Crucke mengesahkan nahas itu turut mengorbankan pemandu van mini serta seorang lagi mangsa dewasa yang bertindak sebagai pengiring kumpulan pelajar.

“Ini merupakan satu tragedi yang amat mengerikan. Ingatan dan doa kami bersama keluarga mangsa yang terkesan,” kata Crucke dalam sidang media ringkas di lokasi kejadian.

Jurucakap Infrabel Thomas Baeken berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan palang keselamatan telah diturunkan sepenuhnya dan lampu amaran merah diaktifkan ketika insiden berlaku.

Menurutnya, pemandu kereta api telah cuba menekan brek kecemasan sebaik menyedari kehadiran kenderaan berkenaan namun gagal mengelak pelanggaran.

Tiada kecederaan fizikal dilaporkan dalam kalangan kira-kira 100 penumpang kereta api, namun seorang individu menerima rawatan akibat kejutan emosi.

Susulan kejadian, Menteri Dalam Negeri Bernard Quintin dan Menteri Kehakiman Annelies Verlinden merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menghargai tindakan pantas pasukan penyelamat.

Dalam perkembangan sama, Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah Ursula von der Leyen turut menyatakan rasa dukacita dan menegaskan solidariti Eropah bersama Belgium.

“Seluruh Eropah berdukacita bersama Belgium hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak pendakwa raya bersama pakar forensik pengangkutan kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

 

Must Watch Video

Advertisement