Skip to main content

Dunia

AS kenakan sekatan baharu, sasar rangkaian perkapalan Iran

Vessels at the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, June 18, 2026. REUTERS/Stringer TPX IMAGES OF THE DAY
Pejabat Kawalan Aset Asing As memaklumkan langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada kempen lebih luas Washington untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran. - Gambar/ Reuters

ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengenakan sekatan terhadap lebih 50 individu, syarikat dan kapal yang dituduh menyokong rangkaian perkapalan  serta menghindari sekatan yang dikaitkan dengan tokoh perkapalan minyak Iran Mohammad Hossein Shamkhani, menurut Jabatan Perbendaharaan AS. 

Pejabat Kawalan Aset Asing di bawah jabatan itu memaklumkan langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada kempen lebih luas Washington untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran susulan apa yang disifatkannya sebagai serangan baharu Tehran yang “menggugat kestabilan” di Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi. 

Sekatan terbabit menyasarkan pemudah cara kewangan, eksekutif perkapalan, syarikat logistik dan pengendali kapal yang berpangkalan di beberapa negara.

Susulan penyenaraian itu, semua harta dan kepentingan milik individu serta entiti berkenaan yang berada di bawah bidang kuasa AS disekat.

Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata sekatan berkenaan bertujuan melumpuhkan rangkaian kewangan utama yang menyokong kerajaan Iran.

“Rejim Iran bergantung pada penipuan untuk terus bertahan dan rangkaian Shamkhani merupakan antara sumber keuntungannya yang terbesar.

“Jabatan Perbendaharaan kini sedang menutup infrastruktur kewangan yang membolehkan rejim itu terus mengancam keselamatan negara AS dan perkapalan global,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Jabatan Negara Tommy Pigott berkata tindakan itu bertujuan mengganggu “rangkaian perkapalan dan pengelakan sekatan” Shamkhani ketika Iran melancarkan serangan terhadap kapal dagang di Selat Hormuz.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement