BRUSSELS: Kebakaran melanda kawasan perumahan di Krokstadelva, Norway pada Jumaat, memusnahkan lebih 100 kediaman dan memaksa ratusan penduduk berpindah ketika anggota bomba bergelut mengawal kebakaran.
Anadolu Ajansi (AA) memetik penyiar NRK melaporkan, polis pada lewat Jumaat memaklumkan, kebakaran itu masih belum dapat dikawal.
Kebakaran berkenaan bermula di sebuah rumah teres sebelum merebak ke kawasan perumahan berhampiran dan kawasan hutan sekitar.
“Lebih 100 unit kediaman musnah dan kebakaran masih belum dapat dikawal,” menurut polis.
Beberapa ratus penduduk dipindahkan dari kawasan itu ketika api terus merebak ke arah kediaman lain.
Pihak berkuasa turut menggesa penduduk di kawasan kejiranan berhampiran supaya meninggalkan rumah masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Pengurus operasi, Lise Bjornsund berkata, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan, namun menyifatkan keadaan sebagai serius kerana api masih marak.
Kebakaran turut merebak ke kawasan hutan di sekitar Krokstadelva, dengan operasi pemadaman dibantu sebuah helikopter.
-- BERNAMA-ANADOLU