NAIROBI: Jutaan penduduk yang hilang tempat tinggal di seluruh dunia sebahagian besarnya terbiar oleh masyarakat antarabangsa, kata Norwegian Refugee Council (NRC) pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam laporan tahunannya mengenai krisis perpindahan paksa paling diabaikan di dunia, pertubuhan bantuan itu mendedahkan wujud jurang besar dalam tindak balas antarabangsa terhadap kecemasan kemanusiaan.
“Ini adalah bukti kegagalan dunia untuk bertindak balas terhadap krisis yang tidak dianggap penting dari sudut strategik oleh negara kaya,” kata Setiausaha Agung NRC Jan Egeland.
“Jutaan orang terbiar kerana kita memilih untuk tidak bertindak,” katanya lagi.
Laporan itu menilai setiap krisis berdasarkan empat kriteria iaitu liputan media, dana, perhatian politik dan skala perpindahan penduduk.
Semakin rendah skor, semakin besar jurang antara tahap penderitaan manusia dan kecukupan respons antarabangsa.
Sudan menduduki tangga teratas dalam senarai tahun ini. Perang saudara selama lebih tiga tahun telah menyebabkan lebih 11 juta penduduk hilang tempat tinggal di dalam negara itu serta negara jiran, manakala hampir 29 juta lagi berdepan ketidakjaminan makanan yang serius.
“Amat sukar difahami bagaimana krisis perpindahan paksa pada tahap yang hampir sama dengan krisis di Syria dan Ukraine ketika kemuncaknya boleh terus meruncing hampir tanpa disedari,” kata Egeland.
Republik Demokratik Congo tersenarai dalam laporan NRC buat kali ke-10, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih tujuh juta penduduk kehilangan tempat tinggal di dalam negara.
Lebih 100 kumpulan bersenjata beroperasi di wilayah timur yang kaya dengan sumber semula jadi itu, dengan jutaan penduduk melarikan diri daripada ketua kumpulan bersenjata tempatan, sebuah gerakan militia dan kumpulan pemberontak M23 yang menguasai sebahagian besar wilayah Kivu Utara.
Wilayah timur laut Ituri turut menjadi pusat penularan wabak Ebola semasa.
-- BERNAMA-dpa